PEGUAM Najib Razak memohon penangguhan singkat bagi menasihat anak guamnya berhung dokumen perundangan berkaitan dakwaan yang akan dirujuk terhadap bekas perdana menteri itu.
“Saya perlu menasihatkan anak guam saya kerana ini bukan dokumen awam, ini dokumen undang-undang,” kata peguam belas kanan Muhammad Shafee Abdullah kepada Mahkamah Sesyen.
Beliau menambah bahawa biasanya peguam diberi helaian terlebih dahulu supaya “kami dapat melihat pendakwaan”.
“Jika pendakwaan dibacakan kali kedua, kami tidak akan dapat memberi nasihat kepada pelanggan kami,” katanya.

Bekas hakim Gopal Sri Ram yang mengetuai pendakwaan tiada bantahan.
Najib dijangka akan didakwa dengan sekurang-kurangnya 21 pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram kerana kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad.
Beliau juga dijangka akan berdepan pertuduhan tambahan yang akan dikenakan ke atasnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Ketika dibawa ke mahkamah, Najib dilihat tenang. Memakai sut biru gelap dan bertali leher biru, beliau kelihatan tidak terkejut walaupun semalaman ditahan di lokap di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Turut kelihatan di belakang Najib adalah tujuh anggota polis, beberapa peguam dan dua pemerhati dari kedutaan Amerika Syarikat. – 20 September, 2018
Komen