Polis sahkan 23 maut akibat keracunan arak


Noel Achariam Christopher Rabin

Siasatan awal menunjukkan mangsa terbabit dalam insiden keracunan alkohol membelinya dari kedai minuman keras di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. – Gambar EPA, 20 September, 2018.

POLIS Selangor mengumumkan jumlah kematian akibat keracunan alkohol meningkat kepada 23 orang di Lembah Klang.

Polis dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga pukul 8 malam semalam terdapat 19 kematian di Selangor dan empat di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan berkata, kes di Sentul melibatkan kematian dua rakyat tempatan dan dua warga Myanmar.

Setakat ini, 17 mangsa masih mendapat rawatan di beberapa buah hospital sekitar Lembah Klang manakala 20 daripada mereka yang sudah dibenarkan keluar.

Siasatan awal oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Selangor menunjukkan mangsa membeli arak dari kedai minuman keras di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sampel minuman beralkohol itu dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Negara Sungai Buloh untuk dianalisis.

Semalam, Kementerian Kesihatan berkata lebih ramai dijangka datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat keracunan alkohol.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata dijangka lebih banyak kes berlaku dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada umum.

“Kami melakukan segala yang termampu untuk menangani isu ini. Kami telah merampas 291 botol pelbagai jenama alkohol, tetapi mungkin terdapat lebih banyak kes di luar sana.

“Ada kemungkinan lebih ramai yang akan datang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Selain rakyat Malaysia, kebanyakan mangsa juga terdiri daripada warga asing dari Nepal, Myanmar, Bangladesh dan India.

Polis setakat ini menyerbu beberapa kedai minuman keras di Lembah Klang dan menangkap sekurang-kurangnya tujuh pemilik semasa jumlah kematian akibat keracunan alkohol meningkat. – 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen