Kesatuan sekerja, NGO tuntut gaji minima RM1,800


Yasmin Ramlan

Kami menuntut kadar gaji minima dinaikkan RM1,800 secepat mungkin dengan penelitian berjadual setiap dua tahun untuk menyelaraskan kadar gaji itu bersamaan dengan peningkatan inflasi, kos sara hidup dan penurunan nilai matawang, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 September, 2018.

KESATUAN sekerja dan pertubuhan masyarakat mahu gaji minimum diseragamkan pada kadar RM1,800 dan bukannya hanya dinaikkan RM50 menjadi RM1,050 seperti yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan awal bulan ini.

Mereka berpendapat gaji minimum baharu itu “satu penghinaan” dan kurang belas kasihan terhadap nasib golongan pekerja am di Malaysia.

“Kami menuntut kadar gaji minima dinaikkan RM1,800 secepat mungkin dengan penelitian berjadual setiap dua tahun untuk menyelaraskan kadar gaji itu bersamaan dengan peningkatan inflasi, kos sara hidup dan penurunan nilai matawang,” kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon pada sidang media bersama Gabungan Bantah RM1,050 di Kuala Lumpur.

Gabungan Bantah RM1,050 ialah sebuah badan bertindak yang dibentuk mengenai isu gaji minimum. Ia disertai antaranya oleh Kesatuan Kakitangan Industri Elektronik Wilayah Selatan, Tenaganita, Malaysia Muda dan sayap Pemuda Parti Rakyat Malaysia.

Menurut Solomon, gabungan itu akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 17 Oktober ini di Parlimen.

“Gaji minima baharu RM1,050 ini merupakan satu penghinaan dan menunjukkan kurang rasa belas kasihan terhadap keadaan yang dihadapi pekerja am di negara ini.

“14 juta pekerja yang mengundi kerajaan baharu ini mengharapkan kehidupan yang lebih baik tetapi terkejut dan kecewa dengan pengumuman gaji minima itu,” katanya.

Menurut Solomon, gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan itu jauh rendah berbanding kajian Bank Negara Malaysia yang menunjukkan seorang pekerja memerlukan sekurang-kurangnya RM2,700 bagi menampung hidup di Kuala Lumpur.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan kadar gaji minimum seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak ditetapkan RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari depan.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan menjanjikan gaji minimum baru sektor swasta dinaikkan kepada RM1,500 sebulan, dalam tempoh mandat lima tahun ini. – 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen