DALAM sensasi politik hari ini, bukan lagi satu rahsia – Umno kini sibuk mengemis di sana-sini. Semuanya kerana kemaruk hendak juga jadi sebahagian kerajaan yang berkuasa.
Sejak kalah 9 Mei lalu, seawal pagi-pagi buta 10 Mei, mantan presiden Umno, Najib Razak menelefon ketua umum PKR waktu itu, Anwar Ibrahim. Bunyi bahasa perbualan mereka mudah – Umno mengemis sesuatu daripada PKR setelah sedar kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kini setelah empat bulan dan baru sepenggal masuk Parlimen, Umno jelas tidak mampu fokus menjadi pembangkang.
Apa yang pasti, bukan kerana Umno tidak reti menjadi kaduk dibuang junjung. Bukan rahsia pun, kita pemerhati melihat tindakan gelabah pemimpin Umno ini lebih didorong kepentingan peribadi.
Kita berspekulasi secara asas: Usaha mencari peluang membentuk kerajaan ini terjadi kerana pemimpin Umno takut menjadi mangsa siasatan. Orang bercakap soal menyelamatkan diri daripada pelbagai kes jenayah korupsi ketika berkuasa.
Ini spekulasi. Tetapi ada asasnya. Orang Umno jangan melenting. Ini persepsi awam berasaskan tingkah laku pemimpin parti itu. Apabila Umno asyik mengemis, ia mencipta persepsi buruk dan harus diterima pemimpin parti itu.
Idea mengemis terbaru ialah Pekembar Bersatu. Orang parti Bersatu sendiri menulis senario ini melalui rencana berbahasa Melayu yang mudah difahami. Baca blog A Kadir Jasin.
Sekelip ayat kita sudah jelas dan mengerti: Bahawa Umno datang mengemis kepada Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.
Apabila mengadap pengemis yang nampak ketakutan, Dr Mahathir menawarkan bantuan: Bubar Umno masuk Bersatu. Tawaran itu satu penghinaan. Lalu, pemimpin Umno pulang tanpa disedekahkan walaupun segenggam beras hancur.
Di sisi lain, naib presiden Umno yang disisihkan dalam pertemuan dengan Dr Mahathir, Khaled Nordin muncul dengan teori menarik. Kononnya bakal wujud Pakatan Malaysia. Kerajaan pemerintah baharu dengan gandingan Umno dan geng Barisan Nasional (BN).
Cuma, mimpi itu tidak akan menjadi kenyataan kerana tidak cukup kerusi. Justeru, muncullah babak malaikat Mikail datang, lalu diberinya rezeki.
Dalam mimpi itu, Pakatan Malaysia menerima sokongan PAS dan PKR. Jadi, dapatlah sekitar minimum 112 kerusi. Lalu Umno kembali berkuasa di Putrajaya.
Pakatan Malaysia ibarat mimpi Nabi Musa dengan kisah tujuh tangkai padi. Hebat mimpi Khaled Nordin. Cuma semua mimpi-mimpi ini hanya menjadikan Umno umpama gelandangan di belakang mati. Sudahlah hidup tanpa rumah, terpaksa tidur bergelumang sampah.
Terkini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mustapa Mohamed dan bekas menteri luar, Anifah Aman yang juga ahli Parlimen Kimanis pula meninggalkan parti itu.
Ini menjadikan lima Ahli Parlimen Umno sudah cabut lari dalam tempoh empat bulan selepas parti itu kalah teruk. Tanpa kerusi Jeli dan Kimanis, Umno hanya tinggal 49 kerusi di Parlimen.
“Umno tidak akan tergugat. Umno tidak akan terjejas.”
Pemimpin kanan dan pemimpin muda pasti masih berteriak: “Umno masih parti terbesar orang Melayu di Parlimen!”
Begitu cara Umno berfikir, bermuhasabah, merenung hakikat diri dan menafsir realiti parti.
Umno masih yakin, parti keramat Mei 1946 itu tetap gah dan megah. Justeru, tidak salah kalau anak raja turun mengemis kerana jalannya menuju ke singgahsana.
Cuma Umno lupa, dalam politik, pengemis tidak akan menjadi raja. Pengemis hanya akan membuatkan rakyat menitiskan air mata. Bukan kerana sedih, tetapi dek terlalu galak ketawa melihat jenaka parti itu.
Umno nampaknya, semakin hari semakin murah maruahnya! – 20 September, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen