Berwibawakah ulama PAS membangunkan ijtihad?


Mohd Syazreen Abdullah

SOLUSINYA, kembali kepada Islam, dalam segenap perkara. Begitu intipati ucapan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-64 baru-baru ini.

Kerana manusia semakin rosak dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan, pembangunan dan lain-lain perkara, beliau mahu Islam Memimpin untuk menyelesaikan masalah segala benak masalah kehidupan hari ini. 

Kedengaran begitu tekad sekali. Kedengaran begitu mudah sekali — hanya kembali kepada Islam. Islam Memimpin adalah slogan yang juga jadi tema muktamar kali ini.

“Kita akan terus mara mendepani cabaran-cabaran yang berlaku pada hari ini sama ada kita syahid bertemu dengan Allah ataupun kita panjang umur melihat kemenangan Islam di tanah air kita yang tercinta ini,” kata anak presiden PAS itu.

Sebenarnya, ratib sebegini biasa diulang-ulang pemimpin PAS bagi meniup roh perjuangan dalam kalangan ahli parti. Seiring perkembangan masyarakat semasa – semakin jauh Islam dari nadi kehidupan, PAS beristiqamah untuk ‘menyelamatkan’ masyarakat dengan memimpin kelompok jahil kembali beragama. 

Sekian lama, konsistensi PAS dalam memperjuangkan Islam tidak pernah diragui. Justeru PAS kekal dan terus-menerus memberi komitmen bagi menegakkan pemerintahan Islam. Itulah tujuan Islam politik yang memimpin perjuangan PAS sehingga kini. Umumnya sejak dahulu lagi, PAS dikenali sebuah jemaah Islam yang ditubuhkan atas kesedaran Islam dan diterajui kepimpinan digelar ulama.

Selain itu, Ketua Pemuda PAS juga menganggap PAS merupakan gerakan tajdid. Buktinya, kata beliau, muncul ijtihad-ijtihad baru yang lahir sekaligus memberikan kesan lebih baik yang sesuai perubahan masa dan keadaan khususnya melibatkan perkara mutaghayyirat terutama berkaitan politik. Misalnya, ijtihad berkenaan ta’awun siyasi oleh Majlis Syura Ulamak selaku ahlul ikhtisas yang mahir dalam ilmu keagamaan.

Jelas, hampir semua pendukung Pas bersetuju. Ia sekaligus mengesahkan PAS adalah parti yang melakukan ijtihad-ijtihad baru dalam politik. PAS dilihat sebagai cuba untuk melangkah lebih berani dalam memajukan ijtihad baharu seiring perkembangan politik di Malaysia.

Soalnya, apakah ijtihad versi PAS betul-betul geliga dan solid dalam menghadapi cabaran kompleks arus perubahan Islam moden saat ini?

Gusar, kalau-kalau keghairahan dalam berijtihad tanpa sedar, Islam kekal dilihat sempit atas ketempangan dan ketidaksediaan menguruskan ijtihad-ijtihad yang lebih mendepani zaman. Misalnya, ijtihad dilakukan berdasarkan Islam versi PAS – dicorak jalur pemikiran konservatif Ikhwan bukan Islam.

Walhal, sejarah perkembangan hukum Islam pernah merosot dan jumud bukanlah kerana keringnya ijtihad pada zaman itu. Sebaliknya proses itu sehingga sampai ke tahap kejatuhan akibat kegagalan menafsir agama dengan baik.

Perkara ini wujud dalam debat antara Wael Hallaq dan Joseph Schacht, yang pernah melatari perbahasan sekitar abad kedua hingga kelima Hijrah.

Kematian Ijtihad atau ulama tidak layak?

Terdapat dakwaan bahawa hukum Islam mengalami kejumudan sejak abad ketiga atau keempat Hijrah. Dakwaan itu pernah menjadi pendebatan hangat hingga menarik perhatian sarjana yang mengkaji Islam seperti Wael Hallaq untuk berbahas tentangnya dalam tulisan beliau Was The Gate of Ijtihād Closed. Tulisan itu mengupas soal tertutupnya pintu ijtihad yang didakwa oleh Joseph Schacht, dibahaskan dalam bukunya The Origins of Muhammadan Jurisprudence.

Menurut Schacht, pintu ijtihad secara rasmi telah ditutup pada abad keempat. Dakwaan Schacht sekaligus membenarkan tesis mengatakan umat Islam dilanda kejumudan kerana bersikap taklid terhadap hukum agama yang sudah ditetapkan sebagai punca tertutupnya pintu ijtihad.

Namun, menurut Hallaq, peranan ijtihad tidak pernah hilang dan sunyi, malah dipraktik sepanjang zaman kerana ia adalah objektif dan asas penting dalam ilmu ușūl al-fiqh. Sebaliknya, Hallaq menyebut faktor kelumpuhan ijtihad disebabkan tiada kewibawaan mujtahid di samping wujud gerakan-gerakan yang anti-rasional dalam berinteraksi teks-teks agama.

Maka, Hallaq berbeza pandangan mengatakan ijtihad dibuka tetapi dilihat tertutup kerana lemahnya wibawa para ulama menguruskan persoalan perundangan; bukanlah pintu ijtihad ditutup rapat punca kejumudan. sebaliknya lebih kerana soal kewibawaan yang jadi asas punca kemunduran.

Bahkan perkembangan politik dan desakan perundangan pada kurun kelima Hijrah menunjukkan ijtihad sangat diperlukan. Proses ijtihad masih berlaku pada abad kelima. Ia sekaligus menolak dakwaan Schacht mengatakan ijtihad telah dimatikan pada abad keempat Hijrah. Padahal, menurut Hallaq, proses ijtihad tidak pernah terhenti dari abad ketiga sehingga abad kelima hijrah. Kekurangan mujtahid yang benar-benar berkemahiran dalam ilmu waktu itu telah memberikan gambaran salah sehingga muncul pandangan seperti Schacht.

Hal ini dibuktikan oleh Hallaq dalam lembaran kitab-kitab usul fikah pada abad kelima Hijrah yang dikarang oleh Shirazi, Sarakshi, Husayn al-Basri, juga al-Juwaini. Majoriti mengatakan terdapat para mujtahid pada kurun itu dan proses ijtihad terjadi.

Malah menurut Hallaq, fenomena tiada mujtahid wibawa dalam mendepani cabaran menguruskan ijtihad banyak terjadi menjelang abad ke-10. Jelas selepas abad kelima, ada kekurangan mujtahid yang berkaliber yang tidak mampu menjawab persoalan yang timbul. Hal tersebut menyukarkan berkembangnya proses ijtihad. Ketidakmampuan menguruskan persoalan semasa, akhirnya mendorong mereka memilih jalan taklid dan pandangan ulama terdahulu dianggap sempurna.

Kesimpulan yang dibawa oleh Hallaq adalah faktor kejumudan bukanlah bermakna proses ijtihad telah mati. Cumanya bilangan mujtahid yang berkaliber semakin kurang. Akhirnya kekurangan kewibawaan menjurus umat untuk memilih pandangan yang ditinggalkan oleh para ulama terdahulu dalam menguruskan masalah perundangan agama.

Maka, perkembangan tersebut tidak memberi kemajuan dalam agama, malah ketiadaan mujtahid yang berwibawa mematikan budaya ijtihad kritis. Proses ijtihad berubah kepada taklid, terjadi peringkat demi peringkat tanpa sedari.

Berhala ulama 

Tidak ada manusia yang maksum. Apatah lagi menggelar diri sendiri sebagai ulama untuk menghalalkan politik kekuasaan dan tafsiran agama. Istilah ulama menjadi kudus dan tidak boleh disentuh atau dikritik.

Ironinya gelaran ulama (PAS) yang terbukti pada hari ini menggambarkan sebahagian kelompok yang tiada wibawa dalam menyelami kesarjanaan dan keseriusan dalam ilmu. Kalau sekadar menguasai ilmu agama fardu ain, itu belum layak digelar ulama.

Ulama adalah pewaris para nabi. Sudah tentu umat Islam harus mendukung ulama. Namun kita harus menolak perbuatan mengguna pakai gelaran ulama yang terbukti tidak cekap apatah lagi memaksa ketaatan. Umpama memberhalakan manusia yang menunggang gelaran ulama.

PAS dari dahulu masih bermain dengan perspektif mengubah kejahilan manusia dan berlagak suci sebagai tukang menyambung risalah kenabian. Kesannya, sebahagian ahli PAS tidak segan-segan menampilkan gelaran ulama walaupun sebahagian besar mereka hanya sekadar ustaz, guru Pasti, atau pendakwah bebas.

Sebagaimana disebut Hasan Tasdelen tentang sebuah anekdot mengenai Khalifah al-Mansur yang berhajat mencari guru untuk anaknya, al-Mahdi. Beberapa orang mencadangkan nama Sulaiman ibn Hasan al-Wasiti. Maka, Khalifah al-Mansur mengundangnya ke istana. Al-Mansur bertanya kepada Sulaiman, apakah engkau ulama yang sebenarnya? Sulaiman diam dan tidak menjawab pertanyaan. Maka al-Mansur bertanya lagi, mengapa kau tidak menjawab?

Akhirnya Sulaiman menjawab: Wahai Amirul Mukminin, jika aku menggelarkan diri aku ulama, sesungguhnya aku telah menganggap diriku suci, padahal Allah berfirman, janganlah menganggap dirimu suci (al-Najm 53:32) jika aku berkata aku bukan ulama, padahal aku menguasai Quran, bererti aku menjadikan sesuatu yang besar di sisi Allah sebagai sesuatu yang kecil.

Begitulah, betapa merendah dirinya dan berhati-hatinya para ulama menggelarkan diri sebagai ulama. Tidak seperti budaya dalam gerakan Islam. Lebih galak memakai gelaran ulama berbanding keseriusan dalam menguasai ilmu.

Amat membimbangkan jika ijtihad yang wujud dalam PAS pada hari ini sesuatu kebijakan. Sebaliknya itu hanya sekadar ilusi. Kerana kelompok Pas sudah lama tidur dalam buaian taklid dan kekudusan ulama yang tidak wibawa. Sekaligus mereka gagal membentuk paradigma Islam yang luas dan kritis.

Sebagaimana yang disebut Wael Hallaq, peranan ulama sangat penting dalam memajukan perundangan agama. Syaratnya bukan ulama yang tidak wibawa. Soalnya, wibawakah ulama PAS? – 20 September, 2018
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen