Umno tak percaya Anifah, Mustapa keluar parti kerana PAS


Yasmin Ramlan Kamles Kumar

Kehadiran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa Muktamar Tahunan PAS ke-64 baru-baru ini sebagai usaha membentuk kerjasama di antara kedua-dua parti dikatakan tidak disenangi ahli veteran dalam parti Melayu itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2018.

SEORANG demi seorang tokoh meninggalkan Umno namun kalangan pemimpin yang masih tidak percaya tindakan itu berpunca daripada kerjasama dengan PAS.

Malah, ada juga yang membangkitkan dakwaan bahawa tindakan keluar parti itu disebabkan tekanan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Kemaman, Shabery Cheek berkata beliau yakin isu kerjasama dengan PAS itu bukanlah satu-satunya alasan untuk keluar parti.

“Sudah pasti ada sebab-sebab lain yang lebih mendalam dari itu yang tidak diketahui. Saya yakin pucuk pimpinan akan memberi tumpuan yang lebih untuk mengetahui punca sebenar,” katanya.

Katanya tindakan itu perlu dilakukan segera untuk mengelakkan lebih ramai lagi ahli Parlimen dan wakil rakyatnya keluar Umno.

Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamad semalam mengumumkan keluar Umno kerana hilang kepercayaan kepada Umno untuk meraih semula kemenangan rakyat selepas parti itu kalan pilihan raya umum 9 Mei.

Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman pula mengumumkan keluar parti hari ini kerana parti gagal menunaikan janji berhubung Perjanjian Malaysia 1963.

Mengulas tindakan itu, seorang lagi ahli Parlimen Sabah, Bung Moktar Radin pula berpendapat, tindakan ahli Parlimen itu meninggalkan parti mungkin hanya untuk menjaga kepentingan diri.

“Kita sedar dalam kekalahan Umno di PRU yang lalu sudah tentu banyak cabaran dan dugaan dari segenap penjuru dan cabaran ini pasti mendorong seseorang untuk mengambil langkah tersendiri demi menjaga kepentingan diri masing-masing,” kata wakil rakyat Kinabatangan itu.

Ahli Parlimen Kemaman, Shabery Cheek yakin ada sebab lain menyebabkan Mustapa Mohamed dan Anifah Aman mengambil keputusan keluar daripada Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2017.

Seorang lagi ahli Parlimen Umno mendakwa, Mustapa dan Anifah ditekan Dr Mahathirsupaya menyertai Bersatu 

Exco Pemuda Umno Armand Azhar mendakwa Dr Mahathir berbuat demikian kerana mahu menambah kerusi dalam parti tersebut untuk mengatasi PKR.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya bakal presiden PKR Anwar Ibrahim menang pada pilihan raya kecil Port Dickson, dakwanya.

“Ia satu gerakan politik memperkukuhkan Tun (Mahathir) untuk parti beliau,” katanya.

Armand turut mempersoalkan kenyataan Mustapa yang memberi alasan keluar parti kerana hilang kepercayaan kepada hala tuju Umno.

Beliau berkata kenyataan Mustapa itu tidak masuk akal kerana bekas ahli majlis tertinggi terlibat dengan perbincangan majlis tertinggi dan maklum dengan kegiatan parti.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan oleh presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno, minggu depan.

“Sepatutnya beliau tahu apa yang telah dirancang, diputuskan kerana presiden akan bincang hala tuju Umno. Takkan tak boleh tunggu lagi tujuh hari?

Seorang lagi pemimpin Pemuda Umno juga berpendapat Anifah dan Mustapa keluar parti kerana tekanan Dr Mahathir dan bukan kerana kerjasama dengan PAS.

Ketua Pemuda Umno Putrajaya Ahmad Faisal Abdul Karim mendakwa Anifah dan Mustapa ditekan dengan siasatan.

Nazri Abdul Aziz berkata pemimpin kanan parti pasti tidak akan keluar sekiranya Umno mempunyai hala tuju yang jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2018.

“Tun (Mahathir) tekan gunakan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk tekan pemimpin-pemimpin Umno disiasat SPRM.

“Jadi ini satu punca mereka letak jawatan untuk keluar daripada Umno. Saya tak rasa (punca) daripada PAS. Itu masih dalam proses perbincangan macam mana kita nak bekerjasama. 

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal bekas menteri Umno Nazri Aziz yang berkata tindakan keluar parti itu sememangnya disebabkan kekecewaan terhadap hala tuju parti dan juga kerjasama dengan PAS.

Pemimpin kanan parti tersebut pastinya tidak akan keluar sekiranya Umno mempunyai hala tuju yang jelas, kata ahli Parlimen Padang Rengas itu seperti dipetik dalam lapora Malay Mail.

“Saya percaya jika kita ada hala tuju, ke mana nak dituju, saya tidak fikir mereka akan keluar. Bagi saya mereka agak kecewa dengan hala tuju parti bekerjsama dengan PAS,” katanya. – 19 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen