KEGAGALAN Umno untuk mengembalikan hak Sabah menjadi punca utama Anifah Aman bertindak meninggalkan parti.
Ahli Parlimen Kimanis itu melepaskan kesemua jawatan dalam Umno dan mengakui kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) juga bermakna perjuangannya untuk mengembalikan hak Sabah tidak boleh diteruskan.
“Saya mengambil keputusan ini kerana saya pernah berjanji kepada para pengundi saya di Parlimen Kimanis dan rakyat Sabah secara keseluruhannya sebelum ini bahawa saya akan meletakkan jawatan di dalam parti sekiranya Umno dan Barisan Nasional gagal menunaikan janji dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya akur bahawasanya tanpa Umno dan Barisan Nasional di tampuk kekuasaan, perjuangan saya tidak akan membuahkan hasilnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas menteri luar itu yang juga abang kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, bereksperimen dalam membentuk kumpulan MySabah yang bertujuan untuk memperjuangkan hak negeri itu dikembalikan.
Beliau juga merupakan pemimpin Umno Sabah yang membangkitkan perkara itu kepada bekas perdana menteri Najib Razak berhubung isu MA63.
Ini membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa, yang dipengerusikannya bersama bekas menteri undang-undang Nancy Shukri.
Anifah berkata perjuangan politiknya jelas dan teguh kerana beliau mahukan rakyat Sabah dilayan seadilnya dan hak mereka dilaksanakan tanpa sebarang ikatan.
Beliau juga maklum bahawa MA63 amat penting kepadanya kerana ia membawa kepada penubuhan Persekutuan Malaysia.
“Walaupun tidak lagi di dalam Umno, saya tetap akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat sekalian. Saya juga akan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dalam mengetengahkan kepentingan dan harapan para pengundi di kawasan Parlimen Kimanis.
“Kerajaan Pakatan Harapan harus komited di dalam melaksanakan janji-janji mereka terutamanya mengembalikan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Pada 16 September, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan PH di bawah pimpinannya akan menjadikan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung Malaysia mengikut MA63.
Ia merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH. – 19 September, 2018
Komen