Pelajar UIAM jalankan tinjauan pelantikan Maszlee sebagai presiden


Kamles Kumar

Menteri Pelajaran Maszlee Malik ketika mengadakan pertemuan dengan jurucakap aktivis mahasiswa Asheeq Ali di Petaling Jaya minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2018.

SELEPAS aktivis pelajar gagal memaksa Maszlee Malik meletakkan jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), majlis pelajar universiti itu menjalankan tinjauan maklum balas mengenai pelantikan menteri pendidikan itu.

Bertujuan untuk menamatkan kebuntuan pendirian antara menteri dan aktivis pelajar, pihak majlis mengedarkan soal selidik kepada pelajar UIAM di kedua kampus Gombak-Pagoh dan Kuantan, untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai kebaikan dan keburukan pelantikan Maszlee sebagai presidennya.

Seorang wakil majlis mengatakan daripada hanya menambah lebih banyak kenyataan awam dan membuat keadaan lebih kacau-bilau, mereka memutuskan untuk keluar dengan tinjauan ini bagi mengukur persepsi para pelajar.

“Tinjauan ini adalah untuk mengkaji tahap kesedaran pelajar UIAM mengenai isu ini dan untuk mengumpulkan pendapat mereka. Ia sepatutnya dilakukan dalam minggu ini,” kata seorang wakil majlis.

Keputusan melakukan tinjauan dicapai selepas pertemuan pada Ahad dengan pelbagai pemimpin pelajar.

Majlis pelajar menyenaraikan kebaikan dan keburukan pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM dalam risalah dengan dihantar dengan soal selidik.

Antara kebaikan susulan pelantikan Maszlee adalah “visi jelas dalam membawa kecemerlangan kepada UIAM”.

Mereka juga menegaskan perbezaan dalam struktur universiti memerlukan seorang menteri untuk menjadi presiden dan pengalaman Maszlee sebagai pensyarah memudahkannya memahami isu dihadapi pihak universiti.

Keburukannya adalah ia bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan menjadi pendahulu kepada lebih banyak pelantikan politik dalam sistem pendidikan.

Aktiviti pelajar mewakili beberapa universiti bertemu dengan Maszlee minggu lalu dan memberinya tempoh seminggu untuk melepaskan jawatannya.

Mereka mengancam untuk mengadakan lebih banyak protes jika beliau tidak melakukannya. Namun, menteri itu tidak berganjak daripada pendiriannya.

Pemimpin Bersatu itu memberitahu para pelajar beliau akan mengekalkan jawatannya sebagai presiden UIAM tetapi berjanji akan membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang melantiknya.

Maszlee juga memberitahu para mahasiswa yang beliau mahu meneruskannya dan menaikkan tahap UIAM dengan menjadikannya “Oxford bagi negara Islam”.

Terdapat kritikan hebat selepas Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM apabila manifesto Pakatan Harapan menjanjikan lebih banyak autonomi kepada universiti.

Pelajar dari beberapa universiti melakukan protes di luar pejabat Maszlee dan menuntut agar beliau melepaskan jawatan.

Maszlee berhujah beliau dilantik oleh perdana menteri dan juga mendapat persetujuan daripada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah. – 19 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen