PENDUDUK Taman Midah di Cheras, Kuala Lumpur mahu kawasan hijau di situ dikekalkan dan sudah memaklumkan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk menghalang pembangunan dua pangsapuri 50 tingkat.
Mereka bimbang cadangan pembangunan bercampur di sebelah Tesco Taman Midah itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk dan akan menjejaskan kira-kira 10,000 penduduk.
Penduduk, Jason Thiruchelvam antara yang lantang membantah dan berkata kerajaan baharu dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad perlu mendengar rungutan penduduk.
“Ini kawasan hijau dengan pokok ditanam sebagai penapis supaya penduduk tidak terjejas akibat habuk, tetapi sekarang ia akan dihapuskan.
“Kenapa kawasan terbuka ditukar menjadi pembangunan?,” katanya.
Dilaporkan projek yang diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun lalu terdiri daripada blok 50 tingkat yang akan dibina di kawasan seluas 1 hektar dengan 1,319 unit dan tempat letak kereta lapan tingkat.
Menurut Draf Pelan Kuala Lumpur 2020, kawasan itu ditandakan sebagai kawasan terbuka.
Jason berkata projek itu terletak terlalu dekat dengan laluan keluar ke MMR2 dan Jalan Cheras di mana laluan itu sudah pun sesak setiap hari.
“Perkembangan ini menyebabkan jalan akan semakin sesak.
“Jika kenderaan masuk ke kawasan itu, mereka akan menghentikan trafik di Jalan Cheras dan menyebabkan kesesakan teruk.
“Dan 800 meter di depan, ada pusat beli-belah besar ECO Cheras yang dijangka dibuka akhir tahun ini dan ini akan menambah lagi kesesakan,” katanya.

Jason berkata penduduk di Taman Segar, Sungai Long, Taman Connaught dan Bukit Anggerik akan terjejas akibat pembangunan itu.
“Jika DBKL tidak dapat menghentikan projek itu, maka penyelesaian lain perlu diambil untuk mengurangkan kepadatan.
“Mereka juga perlu memberi kami penyelesaian tentang bagaimana mereka akan membina jalan susur ke kawasan itu,” katanya.
Seorang pemilik restoran di Taman Midah Timur, Mark Yap berkata projek itu mungkin menjejaskan sehingga 20 pemilik perniagaan di kawasan itu.
“Kesesakan lalu lintas akan menyebabkan pelanggan tidak datang ke sini. DBKL perlu cari cara mengurangkan kepadatan dan mengemukakan pelan trafik,” katanya.
Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai berkata meluluskan projek itu adalah “dosa kerajaan terdahulu” dan ini berlaku kerana mereka tidak mahu mewartakan Draf Pelan Bandaraya KL 2020.
“Saya mahu DBKL mengemukakan penyelesaian untuk penduduk di sini.
“Mungkin projek itu tidak akan dihentikan, jadi DBKL perlu beri penyelesaian untuk rakyat,” katanya.
Tan berkata beliau sudah membangkitkan isu itu kepada Khalid dan bekas datuk bandar KL, Mhd Amin Nordin Abd Aziz dua minggu lalu.
“Pada masa ini kami sedang mengatur mesyuarat antara pemaju dan DBKL untuk mencari penyelesaian. DBKL sudah mengeluarkan arahan henti kerja terhadap projek itu,” katanya. – 19 September, 2018.
Komen