TINDAKAN undang-undang untuk mencabar lanjutan lantikan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin bakal berdepan laluan sukar kerana ada konflik kepentingan walaupun usaha itu mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli Badan Peguam Malaysia, kata pakar-pakar perlembagaan.
Raus dilaporkan akan mengangkat sumpah malam ini sebagai hakim tambahan dan kekal sebagai ketua hakim sehari selepas Badan Peguam dalam mesyuarat tergemparnya pada Khamis meluluskan usul tidak percaya terhadap beliau dan Zulkefli kerana menerima lanjutan lantikan yang dicadangkan Pejabat Perdana Menteri.
Badan Peguam bercadang menfailkan kes di mahkamah sama ada melalui tindakan semakan kehakiman atau saman writ, yang akan memaksa Raus mengecualikan diri daripada menjalankan tugas-tugasnya.
“Langkah ini tidak pernah dibuat sebelum ini dan ia bukan sesuatu yang mudah. Ada beberapa isu yang menjadikannya mustahil,” kata pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi.
Varughese memberitahu wartawan semalam pihaknya akan meminta Hakim Besar Malaya Ahmad Maarop menasihati Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik bekas hakim yang pernah memegang jawatan tinggi kehakiman sebagai hakim tambahan khusus bagi mendengar dan memutuskan kes berkenaan.
Ahmad boleh pula menggunapakai Artikel 131A yang membenarkan beliau sebagai hakim paling kanan untuk mengambil alih tugas ketua hakim.
Selain itu, Badan Peguam boleh memohon kes itu didengar barisan tujuh hakim, dan bukannya lima seperti dalam kes lain.
Namun kata Shad langkah itu pada hakikatnya tidak mudah.
“Panel khas dianggotai hakim bersara yang dilantik melalui Artikel 122(1A) mungkin tidak sesuai. Kebanyakan hakim bersara tidak layak kerana mereka menyatakan pendirian peribadi yang memihak atau mengambil pendirian politik.
“Siapa yang akan mencadangkan lantikan mereka? Hanya Ketua Hakim boleh melakukannya di bawah Artikel 122(1A). Sekali lagi, dakwaan berat sebelah akan timbul,”katanya.
“Kes-kes lazimnya dimulakan di Mahkamah Tinggi dan kemudian naik untuk rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Jadi, untuk ada satu panel memutuskannya secara muktamad bukanlah senang,” kata Shad.
Shad ialah profesor emeritus undang-undang perlembagaan di Universiti Malaya dan menduduki Kerusi Tunku Abdul Rahman.
Satu kemungkinan yang boleh berlaku, tambah beliau ialah menggunapakai Artikel 130 bagi mendapatkan nasihat Mahkamah Persekutuan atas rujukan Seri Paduka.
“Tetapi Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat, dan perdana menteri tidak akan memberikan nasihat itu,” katanya.
Sementara itu, pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang perlembagaan Badan Peguam Malaysia, Surendra Ananth berkata Raus boleh memilih untuk tidak ikut terlibat dalam pelantikan hakim bersara dengan mematuhi peruntukan Artikel 131A.
Artikel 131A, dibaca bersama Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim kanan dalam senarai menjalankan kuasa ketua hakim sekiranya ketua hakim “sakit atau tidak berada di Malaysia atau sebab-sebab lain”.
“Frasa ‘sebab-sebab lain’ itu ada banyak kemungkinan dan boleh mencakupi keadaan seperti ini. Bagaimanapun saya fikir ia harus ditentukan ketua hakim.”
“Dalam keadaan seperti ini, beliau tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik hakim tambahan bagi mendengar kes yang akan melibatkan dirinya sendiri dan kuasa itu mestilah dilaksanakan Hakim Besar Malaya.
“Saya tidak fikir Hakim Besar Malaya akan menasihati Seri Paduka tanpa Ketua Hakim Negara mengakui beliau tidak boleh memberikan nasihat tersebut, yang saya percaya akan beliau lakukan sekiranya ada keperluan.
“Itu sebabnya ini bukan jalan yang mudah bagi Badan Peguam, tetapi ia satu laluan yang harus ditempuh,” kata Surendra.
Raus dan Zulkefli dilantik Seri Paduka sebagai hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan atas cadangan bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria sebelum persaraannya pada Mac lalu. Lanjutan lantikan mereka sebagai hakim tambahan diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai.
Raus sepatutnya bersara pada 3 Ogos selepas mencecah usia 66 tahun enam bulan, mengikut had jawatan yang ditetapkan perlembagaan. Zulkefli pula dijadual bersara pada 27 September. – 4 Ogos, 2017.
Komen