DALAM istilah mudah, dakwah Islam tidak akan berjaya kalau dipenuhi maki-hamun. Dalam bahasa mudah juga, maki-hamun tidak akan mampu menyebarkan syiar Islam. Sebaliknya maki-hamun hanya akan mencetuskan permusuhan berpanjangan.
Sejak menjadi menteri agama, sudah puluhan kali Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan mengenai keindahan dakwah dalam Islam. Bukan sahaja dalam usaha menyedarkan umat Islam, malah konsep Rahmatan Lil Alamin yang kini menjadi agenda kerajaan, mampu memperlihatkan sisi murni dakwah Islam.
Kesederhanaan dan sikap toleransi adalah kunci utama memperlihatkan Islam sebagai agama yang adil lagi indah dalam konteks manusiawi.
Namun, dalam keadaan sekarang – ketika budaya maki-hamun dan caci-nista masih menjadi amalan umat Islam dalam menentang kemungkaran, pastinya keindahan dakwah Rahmatan Lil Alamin memerlukan waktu untuk diasuh sebagai satu kefahaman ke arah memperkasakan dakwah Islam.
Apabila Mujahid bersikap muhibah pada komuniti transgender umpamanya, tindakan itu diterjemah dengan kemarahan dan maki-hamun dalam kalangan pembenci. Sikap lapuk yang jumud masih berleluasa dengan tanggapan, Islam tidak patut memberikan ruang langsung kepada golongan yang dianggap pendosa.
Mujahid juga dituduh menjual agama demi memenuhi tuntutan membayar undi terhadap desakan aktivis minoriti. Debat di media sosial pula dipenuhi bahan tular yang mencemuh usaha dakwah Rahmatan Lil Alamin ini.
“Mana mungkin kita berdakwah dengan maki-hamun. Islam bukan begitu,” kata Mujahid.
“Apabila tindakan dakwah dilakukan secara diplomatik melalui dialog, itu bukan tanda kita berlembut atau meringan-ringankan hukum agama,” jelasnya lagi.
Mujahid menyatakan pandangannya ketika diwawancara secara langsung oleh Ardi Herman dan Syafinaz Yunus pada majlis pelancaran slogan Rahmatan Lil Alamin di Studio ABS TV Hijrah, Cyberjaya baru-baru ini.
Dalam apa juga keadaan, kata Mujahid, Islam tegas tidak akan menerima apa jua bentuk perbuatan mungkar kerana ia bertentangan dengan akhlak.
“Rahmatan Lil Alamin ada syarat-syaratnya. Ia mesti berasaskan akhlak yang mulia. Namun, dalam berdakwah kita kena ada cara menangani tiap masalah. Dakwah mesti ada hikmah,” jawabnya.
Menurut Mujahid, dialog dan sikap baik terhadap mana-mana pihak minoriti bukan bererti kerajaan mengiktiraf mereka. Ia tidak wajar ditafsir sebagai merestui. Namun, sikap mendekati dan berdialog dengan hikmah adalah cara berdakwah menyebarkan Rahmatan Lil Alamin.
Sekali lagi, katanya, kita berbalik pada rujukan: “Dakwah tidak akan berjaya dengan maki-hamun!”
Pelaku mungkar, kata Mujahid, harus disantuni dengan peringatan. Pada masa sama, peringatan yang berhikmah bukanlah maki-hamun. Kerajaan katanya, tetap menentang perbuatan mungkar.
“Namun, pada masa sama kita mahu berdakwah kepada pelaku mungkar!”
Meski pun sukar, dalam tiga bulan pertama usahanya, Mujahid percaya, tiap perubahan besar harus bermula dengan gagasan pemikiran dan falsafah yang jelas.
“Kita perlu berusaha untuk mengubah tabiat klasik. Konsep kontemporari perlu. Namun, mesti tidak menghilangkan pegangan pada al Quran dan hadis. Itu sifat dinamik dalam Rahmatan Lil Alamin yang tidak sesekali menghilangkan prinsip Islam.”
Mujahid menolak tuduhan Rahmatan Lil Alamin bersikap liberal. Malah menyarankan, agar umat Islam tidak hanya taasub pada tafsiran literal mengenai Islam.
“Saya menulis tiga buku menyentuh isu ini. Antaranya, Islam & Kepelbagaian, Islam Bukan Teroris dan Berdialog Dengan Gereja,” jelasnya.
Cabaran, kata Mujahid, pasti akan selalu ada. Apatah lagi usaha pembaharuan untuk menjadikan Islam berdasarkan konsep Rahmatan Lil Alamin sebagai teras membina nilai-nilai Islam di negara ini. Mengubah sikap klasik memerlukan kecekalan kerana cabaran mesti ditangani dalam usaha membawa perubahan.
“Ada ramai orang amalkan Islam tetapi tidak faham pada kesyumulan Islam. Ada para ilmuan yang banyak ilmu tetapi gagal menyerapkan kefahaman Islam,” jelasnya.
Temubual selama 45 minit itu berakhir dengan seruan agar Rahmatan Lil Alamin segera merakyat dan menjadi jambatan menyatukan pelbagai kumpulan dalam Islam. Pada masa sama, konsep ini perlu menjadi teras kearah mengharmonikan rakyat Malaysia yang pelbagai agama dan budaya.
Rahmatan Lil Alamin katanya lagi, akan dikukuhkan dengan pelaksanaan konsep Maqasid Syariah yang berpegang pada Fikah Cara Malaysia.
“Dalam Islam, prinsip syariat mesti berasaskan suasana lokal dan pada masa sama ia tidak bertentangan dengan syariat Islam,” jelasnya.
Cabaran utama Rahmatan Lil Alamin ialah untuk tidak terus menjadikan Islam agama yang menghukum dan menutup semua pintu dakwah kepada golongan yang dianggap pendosa. Malah, Islam perlu menjadi agama yang dihormati semua warga negara sebagai teras kepada keadilan dan keharmonian.
“Malaysia mempunyai keunikan masyarakat majmuk. Justeru, dakwah Islam memerlukan kaedah yang bersesuaian dengan berpegang kepada perlembagaan dan sistem demokrasi. Kita juga merujuk pada institusi beraja dan berparlimen,” jelasnya.
Adalah harus difahami, kesederhanaan Rahmatan Lil Alamin penting sebagai teras kepada Maqasid Syariah dengan prinsip Fikah Cara Malaysia. – 19 September, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen