PRK Port Dickson tak akan bermasalah, kata Anwar


Noel Achariam

Anwar Ibrahim akan bertanding di Port Dickson dalam usaha kembali ke Parlimen dalam persediaan mengambil alih tampuk kuasa dari Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September, 2018.

ANWAR Ibrahim merasakan tidak akan wujud masalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson kepada PKR kerana persetujuan sudah dicapai kepimpinan parti seawal Januari lepas yang beliau wajar kembali ke Parlimen seberapa segera selepas bebas dari penjara.

Dalam wawancara dengan Channel News Asia malam ini, ketua umum PKR itu berkata beliau mengambil masa selepas dibebaskan sebelum mengumumkan hasrat bertanding PRK.

“Saya mahu uruskan hal keluarga dahulu, melawat negeri untuk mengucapkan terima kasih dan melawat rakan di luar negara.

“Itulah yang saya lakukan selama empat bulan dan sekarang fokusnya adalah pada perubahan Parlimen dan mengenali lebih lanjut ahli Parlimen lain,” katanya.

PKR mengumumkan Anwar akan bertanding di Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan Danyal Balagopal Abdullah.

Bagaimanapun, banyak pihak menentang keputusan itu merasakan Anwar tergesa-gesa hendak jadi perdana menteri.

Danyal juga dikecam Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menuduhnya khianat kepercayaan pengundi.

“Saya tak berapa bimbang dengan tempoh masa (mengambil alih dari Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad) kerana hubungan saya dengannya sangat baik.

“Dr Mahathir baru empat bulan mentadbir. Kita perlu biarkan dia teruskan tugasnya yang sekarang sangat mencabar.

“Tugas besar untuk memecahkan saki baki rejim lama, korupsi yang membarah. Bukan masanya untuk saya bercakap bila saya akan ambil alih pentadbiran.”

Anwar juga berkata Dr Mahathir konsisten dalam komitmennya tentang peralihan kuasa dan tugasnya sekarang adalah untuk menyokong negarawan itu, menambah yang kerajaan sekarang disokong penuh semua sekutu politiknya. – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen