Dr Mahathir tak berminat kekal dalam kerajaan selepas berundur, kata Anwar


Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad sudah menyatakan hasrat tidak berminat terus berada dalam kerajaan selepas berundur, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tak berminat kekal dalam kerajaan selepas berundur, kata Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu disuarakan perdana menteri selepas dua kali perbincangan mendalam antara mereka.

“Tetapi kita patut menggunakan sepenuhnya kepakaran dan pengalamannya untuk membantu dan menggubal beberapa dasar kita dan membantu mewujudkan hubungan dalam dan luar negara,” kata Anwar dalam satu wawancara bersama Channel News Asia malam ini.

Ditanya sama ada akan wujud jawatan menteri mentor untuk Dr Mahathir, Anwar berkata mereka terbuka kepada cadangan tersebut.

“Bila Dr Mahathir kata bila anda bersara anda dah tak bekerja, tetapi kami masih terbuka.

“Selagi mana hubungan itu mesra dan hubungan kerja berdasarkan rasa percaya, saya tak rasa itu akan jadi masalah,” kata Anwar.

Menurut perjanjian antara empat parti Pakatan Harapan, Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir selepas dua tahun.

Anwar Ibrahim berkata walaupun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu berada dalam kerajaan selepas berundur, pengalaman dan kemahiran negawaran itu masih diperlukan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Anwar berkata pemimpin tidak pernah bersara dalam erti kata sebenar sekiranya mereka percaya kerajaan akan terus meneruskan usaha pembaharuan negara.

“Ia (kerana) semangat cintakan negara, anda tak perlu bersara dalam erti kata sebenar (tak bekerja).

“Anda bersara dari jawatan tetapi bukan (bersara) dalam menolong mereka yang berkuasa atau pihak berkuasa dalam bidang yang anda rasa layak dan saya rasa itulah yang dia (Dr Mahathir) mahu lakukan.”

Anwar juga berkata sebaik sahaja mengambil alih tampuk kerajaan, beliau diberikan kuasa penuh untuk uruskan negara.

“Walaupun saya ketua parti dengan jumlah ahli Parlimen yang ramai dalam Parlimen tetapi pendirian saya jelas.

“Awak ada perdana menteri jadi mereka kena berinya sokongan, kebebasan dan berjanji yang parti bersamanya untuk wujudkan perubahan.” – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen