SABAH akan meminta bantuan pihak berkuasa Indonesia untuk mengesahkan dari mana datangnya gading gajah seberat 2.7 kilogram yang diseludup ke negara itu, kata Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Masidi Manjun.
Dia menafikan dakwaan gading gajah berkenaan melepasi pemeriksaan imigresen dan ujian katanya perlu dibuat bagi memastikan sekiranya gading tersebut datang dari Sabah.
“Kita mengambil berat mengenai dakwaan itu…namun Jabatan Kastam Sabah berkata, ia akan menjadi jelas sekiranya ia melepasi pusat pemeriksaan Tawau,” katanya.
Pengarah Kastam Sabah Janathan Kandok semalam menolak dakwaan gading berkenaan melepasi pemeriksaan imigresen selepas polis Indonesia berkata pekerja ladang membeli gading itu daripada rakyat Malaysia.
Pekerja ladang berusia 50 tahun dari Timur Nusa Tenggara itu ditahan di Nunukan, Indonesia kerana memiliki gading dan memberitahu polis dia membelinya dengan harga RM1,500.
Sementara itu, Masidi berkata gading gajah biasanya digunakan sebagai hantaran perkahwinan yang menjadi adat biasa di Timor, Indonesia dan ada yang terpaksa datang ke Sabah bekerja dan menyimpan wang untuk membelinya.
“Saya tidak pasti bagaimana orang Timor boleh dapatkan gajing gajah, namun ia sebahagian daripada adat budaya mereka,” katanya.
Dalam masa yang sama, Masidi turut menyelar segelintir pemandu pelancong yang membawa pelancong menikmati hidangan eksotik.
Katanya, mereka melakukan kesalahan besar kepada Sabah dan mereka mengkhianati generasi masa depan Sabah dengan menggalakkan pembunuhan haiwan yang dilindungi.
Masidi berkata, ia berikutan dakwaan terdapat pemandu pelancong Sabah yang menawarkan hidangan eksotik kepada pelancong. – 4 Ogos, 2017.
Komen