PELANCONG dari China membantu dalam pertumbuhan pelancongan di Sabah di mana jumlah pelancong meningkat 3% pada enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Masidi Manjun.
“Hotel turut menerima antara 85% hingga 95% kadar penghunian dan ia menunjukkan Sabah berada di landasan yang betul untuk menjadi salah satu destinasi tumpuan pelancong,” katanya pada majlis perasmian program Sabah Rural Tourism Roadshow, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Joniston Bangkuai.
Sabah katanya, turut dijangka akan mencapai tahun yang baik dalam pelancongan dengan peningkatan jumlah pelancong dari China.
“Kini kita menjangkakan ketibaan 29 penerbangan tambahan dari China yang dijadualkan setiap minggu, selain 79 penerbangan seminggu daripada negara itu sekarang,” kata Masidi.
Industri pelancongan di Sabah mencatatkan peningkatan pada tahun 2016, dengan mencatatkan kehadiran 3.43 juta pelancong dan menjana sekitar RM7.25 bilion kepada ekonomi tempatan.
Terdahulu, Musa Aman berkata, pelbagai usaha dibuat bagi mengembangkan industri pelancongan di kawasan luar bandar, dan berkata masyarakat di luar bandar juga sepatutnya menikmati perkembangan pelancongan di mana kini hanya difokuskan sekitar kawasan Kota Kinabalu sahaja. – 4 Ogos, 2017.
Komen