Tommy Thomas sasaran mudah kerana kes Guan Eng, kata Dr Mahathir


Bede Hong

Kritikan terhadap Peguam Negara Tommy Thomas semakin hebat kerana penguguran kes korupsi Lim Guan Eng, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tommy Thomas sasaran mudah kritikan kerana penguguran kes korupsi Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Oh ya, ada kritikan,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini selepas merasmikan sebuah persidangan tenaga.

“Tetapi seperti anda maklum, kerajaan dahulu menjadikan semua pembangkang mangsa. Mereka ada tujuan tertentu pilih Guan Eng (Lim)…mereka mahu singkirkannya,” katanya lagi.

“Ramai orang buat apa yang Guan Eng buat tetapi mereka tak dipilih (untuk didakwa),” kata Dr Mahathir.

Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Lim daripada pertuduhan korupsi berkaitan skandal pembelian sebuah banglow di bawah harga pasaran daripada bekas tuan rumahnya, Phang Li Khoon pada 2016 ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Dr Mahathir hari ini berkata yang “kes korupsi” Lim “tidak sama” dengan kes bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang dipenjara 12 bulan kerana menggunakan kedudukannya untuk membeli tanah dan banglow di Shah Alam.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan perbezaan tersebut.

Lim Guan Eng dilepas dan dibebaskan daripada kes pembelian sebuah banglow di bawah harga pasaran, penguguran kes itu dikecam banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Kumpulan peguam dan pergerakan masyarakat sivil berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) wujud kepincangan tanggungjawab dengan mengugurkan kes tersebut tanpa menjelaskan sebab berbuat demikian.

Dr Mahathir juga berkata beliau tidak tahu tentang laporan sebuah portal berita yang memetik sumber bahawa Thomas meletak jawatan.

Thomas serta merta menafikan berita tersebut, portal berita itu juga kemudiannya menarik balik laporan dan memohon maaf.

Pelantikan Thomas sebagai peguam negara pada 4 Jun lalu ditentang kumpulan hak Melayu yang mahukan jawatan penting perundangan itu dipegang orang Melayu Islam. – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen