DR MAHATHIR Mohamad menegaskan Malaysia tidak akan menggunakan tenaga nukelar sebagai cara untuk menjana tenaga elektrik selagi beliau menjadi perdana menteri walaupun kerajaan terdahulu pernah membangkitkan kemungkinan untuk menggunakan sumber tenaga itu.
“Walaupun sains semakin maju, ia tidak mampu menangani bahan buangan yang terhasil daripada penggunaan kuasa nuklear,” katanya pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) kali ke-22 di Kuala Lumpur hari ini.
“Bayangkan dengan sebuah reaktor nuklear, akan berlaku peringkat anda perlu membuang sisa tenaga itu. Lebih banyak sisa yang terhasil, lebih banyak sumber yang perlu digunakan untuk mengendalikannya.
“Jadi sebab itu, ia merupakan dasar saya ketika menjadi perdana menteri keempat. Ia bukan dasar perdana menteri kelima dan keenam tetapi kini saya telah kembali.
“Mungkin murah menggunakan tenaga elektrik dari sumber nuklear tetapi tidak semudah itu kita akan menggunakannya kerana kita tidak pasti sama ada mampu membuang sisa nuklear tersebut,” katanya.
Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dan Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) Leo Moggie.

Persidangan bertemakan ‘Memikirkan semula utiliti masa depan yang dianjurkan secara bersama dengan TNB, merupakan persidangan terbesar melibatkan industri pembekal tenaga dan elektrik di Malaysia dengan dihadiri 2,000 delegasi dari 30 negara.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata Malaysia amat ‘bertuah’ kerana mempunyai tiga sumber utama untuk menjana elektrik iaitu berasaskan minyak, arang batu dan hidroelektrik.
“Ramai pihak mahu penggunaan tenaga nuklear di Malaysia selepas saya berundur tetapi sementara saya masih di sini, ada dua perkara mereka akan lakukan. Pertama, mereka tidak akan merokok berhampiran saya dan kedua, mereka tidak akan menjana tenaga elektrik menggunakan kuasa nuklear.”
Dr Mahathir berkongsi ‘pengalaman buruk’ mengendalikan isu amang iaitu sisa bahan yang menghasilkan radiasi ketika kali pertama mentadbir kerajaan.
Katanya amang pernah digunakan dalam pembuatan televisyen warna.
“Kemudian, terdapat cara lain untuk menghasilkan televisyen tetapi amang telah digunakan dan kita perlu mengendalikan sisa amang kerana orang awam tidak boleh mendekatinya disebabkan bahaya radiasi.”

Katanya sebuah syarikat yang tidak dinamakan, bersetuju menanam sisa bahan itu menggunakan simen yang tebal.
“Kita kehilangan tanah seluas satu kilometer persegi tanah kerana keadaan di sana masih tidak selamat. Apa yang kita pelajari adalah sisa dari bahan radiasi tidak mudah untuk dihapuskan.
“Jika kita mahu membuangnya dan tidak mempunyai tempat yang sesuai, kita perlu menanamnya jauh ke dalam tanah. Kita perlu membuangnya di satu tempat. Jika dibuang ke laut, hasil ikan akan tercemar dan kita tidak boleh memakannya. Jadi di mana sisa ini boleh dibuang? Itu persoalannya.”
Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata jika berlaku gempa bumi seperti di Jepun, reaktor nuklear boleh mengalami masalah dan kawasan sekitarnya tidak boleh lagi didiami akibat tercemar.
Katanya banyak wang dibelanjakan untuk menghentikan pencemaran radiasi dan penduduk tidak boleh kembali ke rumah mereka, sama seperti tragedi Chernobyl pada 1986. – 18 September, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen