SATU lagi projek pembangunan kondominium 46 tingkat di Setiawangsa mendapat tentangan penduduk setempat.
Apa yang membimbangkan penduduk ialah pembangunan yang terletak 10 meter dari Kondominium Desa Putra itu akan menambah kepadatan penduduk dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
Pada tahun lepas, mereka membantah dua projek komersil iaitu Wangsa 9 dan Hamilton, namun tidak berhasil.
Sebaliknya, kedua-dua projek berkenaan diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Timbalan Pengerusi Kondominium Desa Putra, Faudzain Ghazali berkata surat bantahan telah diserah kepada DBKL pada 27 Ogos.
“Kami hendak lihat Penilaian Kesan Trafik (TIA).
“Permohonan sudah dibuat kepada DBKL tapi masih belum dapat jawapan,” katanya di pusat khidmat Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.

Menurut Faudzain, mereka juga telah mendapatkan 229 tandatangan iaitu 60% daripada jumlah penduduk.
“Kami harap DBKL akan memanggil kami untuk pendengaran awam bagi menangani masalah kami.
“Kalau boleh kami mahu DBKL beli tanah itu dan jadikannya sebuah taman,” katanya.
Menurutnya lagi, penduduk juga sudah bertemu dengan pemaju dan pemaju memaklumkan mempunyai surat bantahan mereka.
“Macam mana surat bantahan boleh berada di tangan pemaju sedangkan ianya rahsia?
“Bila kami tanya, mereka tak mahu jawab. Mereka minta kami hentikan bantahan dan kami cakap ‘tidak’,” kata Faudzain.
Nik Nazmi berkata Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 perlu diwartakan supaya tidak timbul masalah mengenai perubahan tanah.
“Perkara ini saya akan bangkitkan dengan DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad,” kata beliau. – 18 September, 2018.
Komen