MAHKAMAH Tinggi Sandakan hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Parti Warisan Sabah untuk mencabar keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sibuga dan kerusi parlimen Libaran.
Kerusi Sungai Sibuga dipegang oleh bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, manakala Libaran oleh Zakaria Mohd Edris.
Keputusan dibuat oleh Hakim Tuan Azhahari Kamal Ramli selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.
Menurut salah seorang peguam yang mewakili Musa, Rizwandean Bukhari M. Burhan, hakim berkata petisyen yang difailkan itu tidak memenuhi peraturan petisyen pilihan raya.
“Hakim menyebut mengenai ketidakpatuhan terhadap Peraturan 3, kerana hanya meninggalkan dua salinan petisyen di mahkamah berbanding tiga,” katanya.
Selain itu, Warisan juga gagal mematuhi Seksyen 38(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengkehendaki petisyen atas alasan amalan rasuah dan secara khusus menuntut pembayaran wang boleh difailkan dalam masa 28 hari daripada tarikh pembayaran, tambah Rizwandean
Musa pada 25 Julai memfailkan permohonan untuk membatalkan petisyen pilihan raya itu, yang difailkan pada 18 Jun oleh peguam Warisan, Asmara Abdul Rahman.
Asmara menamakan Musa, pegawai pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga. – 18 September, 2018.
Komen