TIGA tahun lalu, Abdul Rahman Taib mendapat peluang perniagaan yang baik: sebuah tapak kedai di tengah Kuala Lumpur, betul-betul di kawasan yang jadi tumpuan warga kota datang dan pulang—di satu sudut dekat Bangkok Bank di Jalan Tun HS Lee.
Dalam kepalanya terbayang untung laba yang bakal diraihnya daripada perniagaan itu nanti. Dia membuka sebuah kedai makan kecil yang menawarkan masakan Melayu dan juga barat.
Pada bulan-bulan awal perniagaannya, kedai makan itu dapat sambutan yang menggalakkan termasuk dalam kalangan pelancong asing, maklum kawasan itu medan, tidak jauh dari Pasar Seni, Lebuh Pasar dan Masjid Jamek yang selalu jadi tumpuan. Tetapi itu dulu, sekarang tidak lagi.
“Kalau dulu kita meniaga rancak pelanggan datang sampai malam tetapi sekarang bila kurang, kita buka 8pagi hingga 8malam sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kehadiran gelandangan dan pengemis di kawasan Jalan Tun HS Lee itu mengubah nasib kedai makannya.
“Apabila ramai gelandangan dan pengemis, orang kurang gemar datang ke kedai. Mereka juga suka buat kotor. Tiap-tiap pagi saya kena cuci.
“Pernah sekali kedai saya tutup seminggu masa cuti hari raya. Mereka datang buang air dekat luar kedai saya.”
Apabila pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini dilihat meningkatkan operasi membersihkan ibu negara daripada gelandangan dan pengemis, Abdul Rahman, 55, antara orang yang cukup gembira.
“Apabila gelandangan berkeliaran, perniagaan saya merosot 50 peratus. Banyak perkara yang menjejaskan perniagaan saya dan pelanggan pun berkurangan. Saya harap pihak penguasa tingkatkan tangkapan untuk selesaikan isu ini.
Abdul Rahman pernah cuba memberi peluang kerja pada gelandangan ini tetapi kepercayaannya sia-sia.
“Dua orang pernah kerja dengan saya sebagai pembantu kedai tapi akhirnya saya terpaksa buang kerana penagih dadah,” katanya lagi.
Ganggu
Seorang lagi peniaga di kawasan berdekatan, Shin Sow Lin, 45, mengiyakan ada gelandangan dan pengemis yang buang air di tepi jalan, dan menambah ada juga pengemis dalam kalangan warga asing yang selalu mengganggu pelancong.
“Kita kadang-kadang kasihan. Ada orang luar minta duit daripada pelancong. Bila beri seringgit dia tak mahu, dia tarik lagi mahu lima ringgit.
“Dulu ramai orang lalu-lalang, sekarang mana ada orang suka datang sini,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga beg di situ.
“Saya harap pihak berkuasa boleh bersihkan kawasan ini. Mereka suka tidur tepi jalan, alas dengan kotak. Apa imej kita sebagai Malaysia, orang luar (pelancong) tengok.”
Seorang pengusaha kedai fotostat Alvin Pang berpendapat gelandangan bertumpu di kawasan itu kerana ada pihak yang memberikan mereka makanan percuma setiap hari.
“Itu sebab makin ramai datang ambil makanan. Selepas itu kadang-kadang mereka buang bungkusan makanan merata-rata.
“Apabila orang macam ini ramai, tidak sedap mata memandang. Jadi pihak berkuasa kena cari cara untuk selesaikan,” katanya, dan menambah jalan penyelesaian itu termasuk membantu golongan ini menyara diri sendiri dan bukan lagi bergantung kepada bantuan makanan percuma.
“Apabila ada bagi makan, mereka pun tidak mahu bekerja jadi mahu tidur sahaja. Jadi kena selesaikan,” katanya.
Tinjauan The Malaysian Insight di kawasan Jalan HS Lee dalam tempoh dua minggu mendapati jumlah gelandangan yang tidur di kaki lima dekat bangunan Bangkok Bank berkurangan.

Perniagaan terjejas
Naib Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur, Muhamad Baba Kutty mendakwa pihaknya ada menerima aduan daripada ahli-ahlinya yang resah dengan kehadiran gelandangan dan pengemis.
Selain mengganggu pelanggan, kehadiran mereka di sesebuah kawasan menyebabkan pejalan kaki dan pelancong berasa agak cuak untuk lalu.
“Ini secara tak langsung beri kesan pada perniagaan,” katanya.
Kepada badan-badan masyarakat serta individu yang sering memberi bantuan makanan kepada golongan ini, Muhamad Baba tidak menyembunyikan rasa jengkelnya. Kemurahan hati mereka itu menyebabkan orang jadi malas, katanya.
“Bila dapat makan percuma, mereka tak mahu bekerja. NGO perlu bantu mereka dapatkan pekerjaan, bukannya beri makan.”
Pendirian Muhamad Baba ini senada dengan pandangan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor pada Jun yang mahu semua bantuan kepada gelandangan dibuat mengikut saluran agar terurus dan tidak membazir.
Muhamad Baba juga menggesa DBKL dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menangani kebanjiran gelandangan dan pengemis ini dengan segera, lebih-lebih lagi menjelang Sukan SEA 2017 yang hampir tiba. Sukan dwitahunan itu akan berlangsung di Kuala Lumpur antara 19 hingga 31 Ogos.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan mendakwa gelandangan hidup dalam ketakutan selepas operasi tangkapan dipertingkat kerana penganjuran Sukan Sea. Namun DBKL menafikan hal tersebut kerana telah melaksanakan ‘pembersihan’ sejak tiga tahun lalu.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/8980/
Operasi sedang berjalan
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Loga Balamohan memahami kebimbangan dan keresahan para peniaga yang beroperasi di kawasan tumpuan gelandangan dan pengemis.
Katanya, isu ini perlu diselesaikan dengan cermat kerana kerajaan tidak boleh mengabaikan aspek-aspek kemanusiaan.
“Kami tidak boleh hanya bertindak atas aduan daripada seorang peniaga. Kami juga perlu berhadapan dengan NGO. Apabila kami selamatkan gelandangan, mereka kata kami tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Sehingga Mei lepas, secara purata DBKL menyelamatkan 150 orang gelandangan dan pengemis setiap bulan dalam operasi yang dijalankan sekali seminggu.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/8983/
Jabatan Kebajikan Masyarakat pula pada tahun lalu saja menyelamatkan 2,278 gelandangan dan pengemis termasuk 668 warga asing.
Jelas Loga, isu gelandangan ini menuntut kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan masyarakat sivil, dan tidak boleh dibebankan kepada pihak berkuasa semata-mata.
“Bila kami buat tindakan, NGO akan buat bising dan bawa isu ini kepada masyarakat. Ada yang simpati dengan gelandangan. Ada yang mahu bandar jadi bersih dan selamat. Mereka juga mahu seseorang dilihat jahat dan itu adalah DBKL.” – 4 Ogos, 2017.
Komen