TIMBALAN Menteri Luar Marzuki Yahya gagal memfailkan petisyennya untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor di mana beliau kalah dengan majoriti tipis.
Kerusi itu kekal di tangan penyandangnya, Shabudin Yahaya daripada Umno dengan hanya 81 undi, iaitu 0.001% daripada keseluruhan 51,904 undi.
Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Hashim Hamzah yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Pilihan Raya memutuskan petisyen Marzuki “cacat” kerana tidak mematuhi peraturan pilihan raya.
“Petisyen itu sangat cacat, maka ia dibatalkan dengan kos,” katanya memerintahkan Marzuki membayar RM10,000 kepada Shabudin, yang dinamakan sebagai responden pertama.
Marzuki, yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu dan pengerusi parti itu di Pulau Pinang, memfailkan petisyen selepas PRU pada 9 Mei, mendakwa undi mencurigakan.
Beliau berkata kertas undi rosak dan tidak dikembalikan amat tinggi iaitu masing-masing 689 dan 297 – sementara undi majoriti yang dimenangi Shabudin hanya 81.
Marzuki berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan haknya untuk kiraan semula ketika diminta berbuat demikian pada malam undi dikira.
Di luar mahkamah, peguam Simon Tan yang mewakili Shabudin berkata peraturan pilihan raya tidak membenarkan kiraan semula di pusat di mana undi diselaraskan.
“Jika anda tidak tahu petisyen anda menentang apa, bagaimana responden hendak siapkan pembelaan mereka?
“Ia kesilapan besar bagi pihak mereka yang menyebabkan kes itu ditolak,” katanya kepada wartawan.
Shabudin berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu yang membolehkannya meneruskan khidmat kepada pengundi Tasek Gelugor.
“Ini menjadikan saya akan berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat Tasek Gelugor dan menyempurnakan apa yang dijanjikan oleh Barisan Nasional,” katanya. – 18 September, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen