BIARPUN bakal presiden PKR Anwar Ibrahim akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, pemilihan parti tetap akan diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Rashid Din berkata pemilihan parti tidak dapat ditangguhkan memandangkan semua persiapan sudahpun berlangsung.
“Tidak, tidak akan ditangguh. Kami sudah bersedia untuk meneruskan, 90% persiapan sudah dibuat,” katanya kepada pemberita pada sidang kahbar hari ini.
Proses pemilihan akan bermula di empat negeri pada hujung minggu ini iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.
Dijangka 170,000 ahli ahli akan mengundi pada Sabtu dan Ahad ini, kata Rashid.
Tambah beliau, pemilihan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula akan diadakan pada 29 hingga 30 September ini.
Manakala pemilihan di Selangor akan dijalankan pada 13, 14 dan 21 Oktober.
Bagi negeri-negeri di timur Malaysia, pemilihan di Sabah akan diadakan pada 20-21 Oktober dan 27-28 Oktober di Sarawak.
Rashid juga berharap pemilihan kali ini akan berjalan dengan lancar meskipun terdapat beberapa dakwaan rasuah di kalangan ahli parti.
“Saya berdoa semuanya berjalan dengan lancar… saya agak gementar,” kata beliau.
Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin telah mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan sehingga PRK Port Dickson selesai.
Ahli Parlimen Bukit Katil itu berkata penangguhan itu penting bagi menjamin akauntabiliti dan keberadaan semua pihak untuk berkubu di Parlimen Port Dickson tanpa menonjolkan atau mengecualikan mana-mana pihak daripada terlibat sama dalam kempen.
Bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. – 18 September, 2018.
Komen