PENAHANAN baru-baru ini terhadap lima suspek pengganas dari beberapa negeri di negara ini memberi petunjuk buat pertama kali kumpulan pro Syiah merancang untuk melancarkan serangan terhadap umat Islam Sunni di Arab Saudi dari pangkalan mereka di Malaysia.
Pemimpin dan ahli sel kumpulan militan anti Sunni, Aso’ib Ahl al-Haq ditahan menerusi beberapa operasi di seluruh negara, baru-baru ini.
“Ya, mereka kumpulan militan pro Syiah. Kami percaya ini kali pertama kumpulan anti Sunni ditahan di sini,” dedah satu sumber.
“Mereka merancang untuk ke Yaman dan menyertai Houthi. Di sana, mereka juga akan bergabung dengan kumpulan Aso’ib dan kemudian menyerang Arab Saudi,” kata sumber.
Sumber itu berkata pemimpin kumpulan itu antara lima individu yang ditahan.
Pegawai risikan berkata kumpulan berkenaan dijangka akan menerima latihan ketenteraan di Yaman.
“Mereka akan dilatih di Yaman dan kumpulan ini mendanai sendiri pergerakan mereka,” kata sumber.
Minggu lalu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kumpulan Aso’ib merancang untuk ke negara Timur Tengah bagi melancarkan serangan.
“Pihak berkuasa percaya Asoib mempunyai kira-kira 100 ahli di seluruh negara tetapi hanya sekumpulan kecil daripada mereka adalah ekstremis,” kata sumber.
Fuzi juga berkata sel Aso’ib dari Malaysia dijangka dibekalkan dengan senjata oleh kumpulan pengganas itu sebaik tiba di Timur Tengah.
“Salah seorang ahli Aso’ib kini berada di negara Timur Tengah dan sedang membuat persiapan untuk mengkoordinasi serangan itu,” kata Fuzi tanpa mendedahkan destinasi sel itu di negara ini.
Seorang pakar dalam keganasan yang enggan dinamakan memberitahu The Malaysian Insight bahawa kumpulan Aso’ib ditubuhkan di Iraq pada 2014 yang percaya kepada jihad Syiah.
“Ya, saya baru dimaklumkan oleh seseorang yang juga bekas tentera Iraq bahawa kumpulan itu ditubuhkan di Iraq.
“Kumpulan itu adalah serpihan separa tentera Syiah Iraq yang aktif di kawasan pemberontakan Iraq dan perang saudara Syria,” kata pakar itu.
Polis Malaysia menahan 425 militan termasuk 44 wanita sejak Februari 2013 kerana disyaki terbabit dalam keganasan.
“Daripada jumlah itu, 314 ialah rakyat Malaysia sementara selebihnya warga asing dari pelbagai negara, termasuk Filipina (39), Indonesia (35), Iraq (lapan), Bangladesh (lima) dan Yaman (empat),” kata sumber dari Bukit Aman. – 18 September, 2018.
Komen