KETUA Menteri Shafie Apdal berkata Sabah akan terus berjuang mendapatkan 20% royalti minyak dan sudah dimaklumkan oleh kerajaan persekutuan sebab perkara itu mengambil masa.
Shafie berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah diberitahu tentang keputusan Kabinet Sabah ketika pertemuan mereka pada satu majlis makan tengahari 16 September lalu.
“Itu adalah salah satu perkara yang kami bincangkan dengan Tun (Dr Mahathir), tetapi sudah tentu dia kata akan ambil masa dan penelitiannya bukan mudah.
“Tetapi saya beritahu dia, jika syarikat minyak negara Petronas ada tanggungjawab sosial korporat, syarikat itu hanya buat sekumpulan orang gembira dan jika seseorang diberikan jawatan pengarah, syarikat itu hanya buat seorang gembira.
“Tetapi jika mereka beri 20% (royalti), mereka akan buat 3 juta penduduk Sabah gembira,” katanya hari ini.
Dr Mahathir berikrar yang Pakatan Harapan akan memenuhi janji manifestonya untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menaikkan royalti minyak negeri pengeluar daripada 5% kepada 20%.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara ini mengambil masa.

Pengeluaran minyak di Sabah membentuk separuh daripada jumlah keseluruhan minyak negara, tetapi hanya 5% keluaran kasar Petronas dikembalikan kepada negeri.
Ini selaras dengan perjanjian minyak ditandatangani kerajaan negeri ditadbir Ketua Menteri Harris Salleh daripada Berjaya pada 6 Jun 1976, tarikh keramat berlakunya nahas Double Six.
Perjanjian itu ditandatangani beberapa jam selepas Harris mengambil alih kuasa daripada Fuad Stephens yang terbunuh dalam nahas pesawat itu pada hari yang sama.
Banyak pihak percaya perjanjian tergesa-gesa itu adalah konspirasi teliti bagi memastikan Sabah menyerahkan sumber kepada kerajaan persekutuan.
Shafie berkata Sabah boleh menerima sehingga enam kali ganda berbanding bayaran royalti sekarang yang berjumlah sekitar RM1 bilion setahun.
“Untuk Putrajaya, apa sahajalah RM6-7 bilion kalau hendak dibandingkan semasa bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan projek kereta api RM55 bilion di Putrajaya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shafie berkata beliau telah membangkitkan soal penurunan kuasa kepada semua menteri persekutuan yang berjumpanya semasa lawatan mereka ke Sabah sempena sambutan Hari Malaysia semalam.

Shafie bertemu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad antara 15 dan 16 September.
“Kebanyakan perbincangan berkisar kepada perkara yang diumumkan perdana menteri tentang perkongsian (tanggungjawab) dan Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya sudah memaklumkan kepada menteri seperti kesihatan dan pendidikan yang kerajaan negeri sudah mempunyai kemampuan untuk mengendalikan semua projek dilakukan dua kementerian itu,” kata Shafie.
Katanya, Jabatan Kerja Raya Sabah mengendalikan semua projek Kementerian Pendidikan persekutuan lebih baik berbanding kementerian.
Azmin baru-baru ini berkata hanya 12% daripada 83 projek untuk membaiki sekolah daif di Sabah disempurnakan kontraktor berkaitan Umno, berbanding JKR Sabah yang menyempurnakan semua 37 projek diberikan Kementerian Pendidikan. – 17 September, 2018.
Komen