KERAJAAN wajar menimbang untuk merombak sistem pilihan raya daripada pemenang undi terbanyak (FPTP) kepada sistem perwakilan berkadar yang boleh mewujudkan persaingan sihat dalam pilihan raya yang melibatkan lebih daripada dua parti, kata pemimpin Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata sistem FPTP telah menyebabkan parti-parti kecil tidak dapat bersaing dan terpaksa membentuk gabungan dengan parti yang lebih besar.
“Inilah yang menyebabkan di Malaysia parti-parti politik terpaksa membentuk gabungan. Jika mereka bertanding sendirian, maka cabaran yang mereka hadapi adalah tinggi.
“Sistem yang berteraskan proportional representation (perwakilan berkadar) adalah lebih adil dalam situasi wujudnya banyak parti politik di Malaysia,’ katanya dalam satu kenyataan media, menyokong cadangan badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.
Bersih 2.0 dalam satu kenyataan awal hari ini berharap pilihan raya kecil kawasan Parlimen Port Dickson akan membuka mata umum kepada isu lebih besar tentang sistem dan proses pemilihan calon menggunakan sistem pemenang undi terbanyak.
Badan itu berkata ini masa yang sesuai untuk Malaysia menimbang dan membuat pendirian untuk menukar sistem daripada FPTP kepada perwakilan berkadar.

Cadangan sama sebelum ini pernah dikemukakan oleh jawatankuasa khas Parlimen pada 2012 ketika itu mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem pilihan raya kepada Dewan Rakyat.
“Pandangan daripada Bersih ini akan saya bawa kepada jawatankuasa yang sewajarnya dalam kerajaan,” kata Wan Saiful, yang berharap sistem baru itu akan mengangkat suara golongan minoriti di Malaysia.
Pada 16 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa reformasi pilihan raya yang diberi mandat dua tahun untuk menyemak semula sistem pilihan raya di Malaysia.
Jawatankuasa 10 anggota itu diterajui bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Rashid Ab Rahman, dianggotai salah seorangnya Wan Saiful.
Dalam sidang media awalnya, Abdul Rashid membayangkan pilihan raya umum 9 Mei lepas mungkin jadi pilihan raya terakhir Malaysia menggunakan sistem pemenang undi terbanyak. – 17 September, 2018.
Komen