SALAH satu pencapaian utama Perdana Menteri Najib Razak menjelang pilihan raya umum akan datang yang sekaligus mengukuhkan peranan utama Malaysia dalam projek China, One Belt One Road (OBOR), akan dilancarkan minggu depan.
Upacara pecah tanah projek East Coast Rail Link (ECRL) – yang merupakan projek terbesar OBOR di Asean itu akan diadakan di negeri asal Najib iaitu Pahang pada 9 Ogos. Ia dijangka akan disaksikan delegasi dan utusan khas Presiden Xi Jinping termasuk pegawai kanan kerajaan dari Beijing.
Bagi Najib, projek berbilion ringgit itu akan memberi peluang kepadanya untuk membuktikan keupayaan kerajaan di bawah pentadbirannya menarik pelabur asing daripada negara kuasa besar ekonomi ke negara ini
Pelancaran projek itu juga memberi peluang kepadanya membuktikan sesuatu kerana dibayangi ketidakupayaan kerajaan menyelesaikan isu berkaitan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co. (IPIC) dan siasatan Perancis terhadap kes pembelian kapal selam Scorpene ketika beliau memegang jawatan menteri pertahanan.
Bagi pentadbiran Najib, projek berbilion ringgit itu memberi peluang ekonomi dan pekerjaan, apatah lagi kontrak untuk kontraktor tingkat tinggi atau ketiga, yang kebanyakannya merupakan sebahagian daripada ekosistem parti pemerintah.
China juga dijangka akan mempromosikan ECRL kerana ia merupakan projek strategik dan paling penting di rantau ini, yang menghubungkan Laut China Selatan dan Selat Melaka melalui jalan darat.
Pentadbiran Najib sememangnya mahukan Presiden Xi untuk hadir, namun pemimpin tertinggi China itu tidak dapat mengadakan lawatan dua hala luar negara sehingga pilihan raya parti komunis di China itu berakhir.
Putrajaya amat berharap menerima kunjungan Presiden Xi pada November, menurut sumber.
Projek ECRL bernilai RM500 bilion merupakan projek kereta api dari Lembah Klang ke Pahang, Terengganu dan berakhir di Kelantan dan akan menghubungkan bandar seperti Pelabuhan Klang, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Tumpat.
Pelancaran projek itu juga diadakan ketika Putrajaya mengesahkan kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar hutang IPIC berjumlah AS$603 juta bulan lalu.
1MDB merupakan rancangan Najib untuk melabur dalam aset hartanah dan perkhidmatan di Malaysia, namun syarikat itu menjana lebih banyak hutang dan menghadapi masalah aliran kewangan selain kontroversi dakwaan dana berkenaan disalurkan ke beberapa akaun peribadi.
Perdana menteri keenam negara itu juga berdepan kritikan berhubung lanjutan tempoh perkhidmatan dua hakim kanan di negara ini selain masalah bekas pembantunya yang didakwa di mahkamah Perancis atas tuduhan skandal penyelewengan pembelian kapal selam Malaysia bernilai €1 billion. – 4 Ogos, 2017.
Komen