AHLI perniagaan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho melancarkan laman sesawangnya sendiri bagi menepis dakwaan salah laku berkaitan peranannya dalam skandal kewangan rentas negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Low kini jadi orang buruan pihak berkuasa Malaysia dan Singapura kerana dituduh menyeleweng sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.45 bilion) daripada dana pelaburan itu.
“Biar saya jelaskan: Saya tak bersalah,” katanya dalam sepucuk surat bertandatangan yang dimuatnaik ke laman sesawang itu yang menyifatkan beliau sebagai “dermawan, pelabur dan usahawan global”.
“Berdasarkan pengalaman lepas saya mungkin buat sesuatu dengan cara berbeza, seperti mana-mana orang muda, tetapi kesilapan yang saya buat tidak setara dengan dakwaan merosakkan dan meluas yang dibuat ke atas saya,” kata Low.
“(Gambar) Saya diarak dalam perarakan di jalanan di Kuala Lumpur dan gambar masa muda saya terpampang di tabloid seluruh dunia,” katanya.
“Saya hanya minta semua pihak- mahkamah, pendakwa raya dan orang awam- berfikiran terbuka sehingga semua bukti dikemukakan.”
Satu lagi kenyataan di laman sesawang sama mengecam buku terbaru ditulis wartawan akhbar kewangan berpengaruh Wall Street Journal, menyifatkan ia “tulisan yang disertakan dengan dakwaan palsu dan gosip yang diterima sebagai laporan sah”.
Low adalah subjek tumpuan buku “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World” yang ditulis Bradley Hope dan Nicholas T Wright.
Beliau berdepan pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya secara “absentia” di Putrajaya bulan lepas, tetapi enggan menghadiri perbicaraan tersebut kerana mendakwa tidak akan mendapat keadilan di Malaysia.
Pendakwaan difailkan Putrajaya adalah yang pertama di dunia terhadap Low, yang dianggap dalang skandal 1MDB yang kini disiasat beberapa buah negara. – 17 September, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan