Usaha kembali status Sabah, Sarawak sudah sebulan bermula, kata menteri


Jason Santos

Ia perlukan sedikit masa dan kita perlu bersabar untuk satu perkara yang lebih besar untuk kita semua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2018.

USAHA untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia sudah bermula sejak sebulan lalu, namun memerlukan sedikit lagi masa untuk selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong.

“Ia perlukan sedikit masa dan kita perlu bersabar untuk satu perkara yang lebih besar untuk kita semua,” kata Liew.

“Saya boleh beri jaminan kepada anda semua bahawa semua kerja sudahpun bermula sejak saya diberi amanah menjalankan tugas ini sebulan yang lepas dan marilah kita sama-sama bersatu dalam usaha dan doa dalam hal ini.”

Menurut menteri itu, para pengkritik sudah pasti akan mencetuskan keraguan terhadap pengumuman Hari Malaysia Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam tadi iaitu Putrajaya komited mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang setara sama seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Seperti yang kita semua maklum, kita tak akan ke mana jika kita sentiasa mempertikaikan perkara ini, kerana ia akan melemah dan menghalang kita mencapai matlamat,” kata beliau.

Kerajaa Pakatan Harapan telah memulakan kajian terhadap MA63 sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan syarat perjanjian tersebut, yang merangkumi hak-hak istimewa, autonomi dan perkongsian hasil kepada Sabah dan Sarawak.

Satu jawatankuasa kajian khas telah ditubuhkan di Sabah dan Sarawak bagi membincangkan lebih lanjut mengenai pelaksanaan syarat tersebut dengan Putrajaya. – 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen