Punca kes kematian jatuh flat akibat kecuaian pihak pengurusan, kata penduduk


Christopher Rabin

Keadaan PPR Kota Damansara yang kotor dan kurang selamat boleh mengundang bahaya kepada penduduk terutamanya golongan kanak-kanak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 September, 2018.

LONGGOKAN sampah memenuhi ruang koridor disulami dengan bau kencing kucing, antara pemandangan biasa bagi penduduk di Projek Perumahan Rak­yat (PPR) Kota Damansara.

Namun minggu lalu, keadaan menjijikkan itu akhirnya ‘menelan korban’ apabila seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari balkoni rumah di tingkat 17.

Jiran kanak-kanak itu, Krishnan Kupusamy berkata insiden itu amat tragik tetapi tidak mengejutkan kerana penduduk sering meminta pihak pengurusan flat menaikkan ketinggian pagar balkoni.

“Kami perlu mengundi pintu balkoni setiap kali meninggalkan rumah demi keselamatan anak-anak,” kata lelaki berusia 45 tahun itu.

Beliau turut mengadu tentang pagar balkoni yang sudah berkarat dan longgar kepada pihak atasan tetapi tiada tindakan diambil terhadap isu itu.

“Apabila kami lewat membayar ultiliti, pihak pengurusan menutup air atau bekalan elektrik.

“Tetapi apabila kami membuat aduan, mereka memberi alasan memerlukan masa untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Keadaan penutup longkang PPR Kota Damansara yang tidak diganti boleh mengundang bahaya kepada penduduk terutamanya golongan kanak-kanak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 September, 2018.

Pada 2015, seorang kanak-kanak lelaki jatuh dari tingkat lima di flat yang sama, menyebabkan pihak pengurusan menukar kesemua pagar koridor. 

“Mereka membetulkan pagar koridor luar apabila kes pertama kanak-kanak jatuh tetapi kami masih menunggu mereka menukar pagar koridor di dalam rumah,” kata Vijaya Letchumy yang tinggal satu tingkat di atas rumah mangsa.

“Pihak pengurusan perlu bertanggungjawab menukar pagar balkoni. Mereka patut bertindak pantas,” kata penduduk berusia 51 tahun itu yang bekerja sebagai operator kilang.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berkata pihak pengurusan mengetahui tentang bahaya keadaan pagar balkoni di flat itu.

“Apabila sesuati berlaku kepada anak-anak kami, perbincangan diadakan dengan pihak pengurusan untuk tindakan lanjut, tetapi perkara itu tidak berlaku (kali ini),” katanya.

Sampah yang dilonggokkan tidak diuruskan dengan baik, mengundang keadaan kurang selesa kepada penduduk PPR Kota Damansara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 September, 2018.

Seorang lagi jiran mangsa, Mohammad Fazizi berkata beliau membaiki sendiri pagar balkoni rumahnya dengan meletakkan simen.

“Saya tidak mendengar sebarang perancangan pihak pengurusan untuk menukar pagar balkoni, jadi saya sendiri yang membuatnya,” kata lelaki berusia 35 tahun itu.

“Bagi orang dewasa, tiada masalah dengan ketinggian balkoni itu. Tetapi yang membimbangkan, jika anak-anak berdiri di atas kerusi dan itu yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

The Malaysia Insight menghubungi pihak pengurusan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) bagi mendapatkan maklum balas tentang dakwaan penduduk itu.

PPR Kota Damansara dibina pada 2000 dengan ketinggian 18 tingkat. – 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen