KEMANTAPAN Petroliam Nasional Bhd (Petronas) perlu dikekalkan dahulu sebelum pemberian 20% royalti minyak kepada Sabah dilaksanakan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Menurut perdana menteri, sebarang keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa akan menjejaskan syarikat minyak negara.
“Kita tak mahu bunuh Petronas. Mengambil 40% daripada kos operasi syarikat akan menyebabkan ia rugi.
“Jadi (jika) kita kurangkan tugas Petronas kepada hanya mengutip royalti, kita akan kehilangan banyak benda (peluang),” kata Dr Mahathir.
Jelas perdana menteri, kerajaan Persekutuan juga memberi wang kepada negeri-negeri dalam bentuk pinjaman, di mana sebahagiannya ialah pinjaman tidak berbayar (NPL).
“NPL bermakna kita boleh jadikan anda muflis. Negeri-negeri ini ada duit, malah mereka tawarkan untuk pinjamkan duit kepada kerajaan Persekutuan,” kata beliau di Kota Kinabalu hari ini.
Terdahulu, perdana menteri memuji kemajuan yang dicapai Sabah sejak kali terakhir beliau berkunjung ke negeri itu.
Beliau berkata, walapun Sabah berpotensi untuk berjaya dalam bidang ekonomi, kos sara hidup meningkat disebabkan perntadbira kerajaan sebelum ini.
“Saya fikir apa yang patut dilakukan (untuk membangunkan lagi Sabah) adalah untuk mengenal pasti aset-aset Sabah, yang boleh dieksploitasi. Anda ada tanah, gunung, laut dan pantai dan suhu rendah, yang mungkin sesuai untuk menanam sayur-sayuran. Jadi, potensinya bagus.” – 17 September, 2018.
Komen