PINDAAN ke atas Perlembagaan Persekutuan mengenai syarat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan sokongan majoriti di Parlimen, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Memandangkan Putajaya telah berjanji akan mengembalikan hak negeri, Dr Mahathir berkata usaha tersebut mungkin tidak semudah yang disangka kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat masa ini tidak mempunyai kawalan penuh ke atas Parlimen.
“Kita akan pastikan sama ada kita boleh ke Parlimen atau tidak. Apabila bercakap mengenai perubahan, mereka akan sebut beberapa perkara dan cari jalan untuk memberitahu orang lain supaya jangan menyokong usaha itu dan kemudian barulah kita ada masalah.
“Buat masa ini, kita tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan. Jadi kita perlu fikirkan cara untuk mendapat majoriti dua pertiga.
“Seperti baru-baru ini, rancangan untuk mansuh Akta Anti Berita Tidak Benar, mulanya kita sangka mereka akan sokong. Tetapi apabila di abwa ke senat, kita kalah kerana tiada majoriti,” Dr Mahathir memberitahu pemberita selepas majlis sarapan bersama Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dan anggota Kabinet negeri.
Ketika menyampaikan ucapannya malam tadi, perdana menteri berkata Putrajaya bercadang untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang setara sama seperti ketika pembentukan Malaysia 55 tahun dahulu.
Beliau menyifatkan status rakan seangkatan itu sebagai “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.”
Dr Mahathir juga berjanji Putrajaya akan menunaikan tanggungjawabnya memajukan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, mengikut kehendak dan keperluan rakyat di sana.
Selain itu, perdana menteri juga menjelaskan kesemua syarat dalam MA63 tidak harus direalisasikan secara tergesa-gesa kerana kajian terperinci harus dijalankan untuk mengenal pasti bahagian mana dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu diubah.
Pengerusi PH itu menambah, undang-undang lain juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan komplikasi di amsa depan.
Mengenai status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi seangkatan di Malaysia, Dr Mahathir berkata beberapa perkara tertentu yang diputuskan di Putrajaya diuruskan oleh pemimpin yang tidak biasa dengan keadaan di kedua-dua negeri tersebut.
“Sama ada kita ada lebih ramai orang Sabah dan Sarawak bekerja di Semenanjung dan dalam kerajaan Persekutuan, atau beberapa proses membuat keputusan kita pindahkan ke Sabah dan Sarawak,” kata perdana menteri. – 17 September, 2018.
Komen