TIGA hakim Mahkamah Rayuan dan seorang profesor undang-undang dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi tempoh dua tahun.
Bekas hakim - Mah Weng Kwai, Hishamudin Yunus dan Linton Albert - serta pakar undang-undang Perlembagaan Dr Shad Saleem Faruqi dilantik oleh perdana menteri pada 4 September, Mah memberitahu The Malaysian Insight.
Mah merupakan bekas presiden Badan Peguam Malaysia dan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Hishamudin terkenal kerana keputusan penting beliau yang mendukung kebebasan asasi dan individu dalam kes-kes melibatkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang telah dimansuhkan.
Manakala pada 2015, beliau menyebelahi hak-hak lelaki transgender untuk berpakaian seperti wanita berlandaskan hak kesamarataan, memandangkan wanita yang berpakain seperti lelaki tidak dikenakan hukuman.
Albert pula terkenal kerana mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) sebagai tidak berperlembagaan.
Menurut beliau, pelajar universiti di Malaysia boleh melibatkan diri dalam politik dan undang-undang yang melarang mereka bertindak demikian adalah tidak berperlembagaan.
Shad, seorang profesor emeritus, juga pengerusi Tunku Abdul Rahman di Fakulti Undang-undang Univerisiti Malaya. Beliau juga seorang kolumnis akhbar dan sering dirujuk bagi mendapatkan ulasan mengenai isu melibatkan undang-undang dan Perlembagaan.
JAC dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Richard Malanjum yang mengangkat sumpah pada Julai.

Mah berkata, empat pelantikan itu bagi menggantikan tempat individu yang bersara. Bagaimanapun, tidak diketahu siapakah mereka.
Menurut laman web JAC, anggota suruhanjaya yang dilantik oleh perdana menteri terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Azahar Mohamed, bekas ketua hakim Arifin Zakarian, bekas hakim Mahkamah Rayuan Anantham Kasinather, bekas peguam negara Sarawak Abdul Razak Tready dan pensyarah fakulti undang-undang UM Dr Choong Yeow Choy.
JAC ditubuhkan pada 2009 bagi memastikan proses pencalonan, pelantikan dan kenaikan pangkat bagi hakim mahkamah atasan dilakukan dengan lebih telus.
Kata Mah, anggota suruhanjaya tersebut dipertanggungjawabkan untuk memastikan lantikan hakim adalah berdasarkan merit, kekananan dan pengetahuan undang-undang.
“Hakim perlu adil dan memiliki peribadi moral yang baik, dan perlu ada kepelbagaian kepakaran undang-undang.
“Dalam pemilihan dan kenaikan pangkat hakim, suruhanjaya perlu mengambil kira pelbagai kriteria termasuk kebolehan calon menulis penghakiman yang berasas.
“Suruhanjaya perlu sentiasa bebas dari rasuah. Ini syarat paling penting.”
Seksyen 21(1) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 memberi kuasa kepada suruhanjaya tersebut melantik hakim ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Mah turut menjelaskan, di bawah akta berkenaan, JAC tidak terlibat dengan lantikan dan kenaikan pangkat hakim mahkamah majistret dan mahkamah sesyen.
Suruhanjaya hanya boleh memberi cadangan kepada kerajaan mengenai hal-hal berkaitan pentadbiran mahkamah-mahkamah atasan.
Tambah beliau, badan kehakiman Malaysia perlu telus dan bertanggungjawab dalam memberi keadilan kepada semua. – 17 September, 2018.
Komen