Hadi gembira, Umno kini dalam kawalan PAS


Chan Kok Leong

Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa berucap pada majlis penutup Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Kuala Terengganu semalam. Beliau menyedari tujuan Umno mendekati partinya dan memberi respons yang baik mengenainya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 September, 2018.

ABDUL Hadi Awang dilihat begitu gembira di kongres PAS yang berakhir semalam.

Ia terbukti dalam jenaka dibuatnya pada majlis itu, yang mengatakan musuh lamanya Dr Mahathir Mohamad sebagai lelaki lebih “matang”, dan menyamakan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson sebagai “latihan tentera laut bersama Umno”.

Hadi juga tidak kelihatan tertekan sebagaimana semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), apabila PAS dituduh berulang kali menerima wang daripada Umno atau dipersoalkan kemampuannya untuk menang.

Tetapi walaupun memenangi hanya 18 kerusi persekutuan daripada 158 yang dipertandingkan, PAS kini lebih kuat sejak ia meninggalkan Pakatan Rakyat yang kini tidak lagi berfungsi di sebalik ramalan ia tidak akan menang jika bergerak sendirian.

Berlawanan dengan ramalan para pakar yang PAS akan dikalahkan di Terengganu, parti itu bukan sahaja menawan semula negeri itu tetapi dengan kemenangan bergaya apabila berjaya memperoleh dua pertiga majoriti di dewan negeri - 22 daripada 33 kerusi negeri.

Penguasaan semula negeri kelahiran presiden itu penting bukan hanya untuk PAS tetapi merupakan kejayaan peribadi bagi Hadi, yang kehilangan negeri itu pada 2004 selepas memerintah hanya satu penggal.

“Kemenangan kami di Kelantan dan Terengganu menunjukkan PAS boleh memimpin,” kata anaknya dan Ketua Pemuda Muhamad Khalil semasa ucapan penggulungan di muktamar semalam.

Oleh itu, tidak hairanlah kongres tahun ini diadakan di Kuala Terengganu. Kali terakhir kongres tahunan diadakan di sini adalah pada 1999 selepas Hadi menjadi menteri besar, manakala muktamar pertama di Terengganu diadakan di kampung halaman Hadi di Rusila pada 1986.

Tetapi lebih sekadar simbolik, kongres tahun ini juga dilihat acara paling teratur dan dihadiri dengan jumlah yang tinggi.

Selain 1,200 perwakilan yang hadir - yang dilihat lebih seperti perayaan, mendapat sokongan sepenuhnya daripada jentera kerajaan negeri - turut menarik ribuan kehadiran yang mengikuti ceramah agama, persembahan dan menggunakan sebaik mungkin kaunter perkhidmatan kerajaan negeri tersedia.

Sekiranya bukan bertemakan warna hijau, ramai yang mungkin tersilap ia adalah acara Barisan Nasional.

Muktamar Tahunan PAS ke-64 yang berlangsung di Kuala Terengganu kali ini mendapat kehadiran paling ramai sejak kali pertama ia diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2018.

“Ini muktamar paling teratur yang pernah ada,” kata perwakilan Bagan Serai, 72, Termizi Mohamed, yang menghadiri mesyuarat tahunan parti selama 50 tahun.

Selain persembahan hebat dan kejayaan menawan semula Terengganu, Hadi mempunyai banyak sebab lain untuk bergembira kerana Umno kini sedang berusaha merapati PAS.

Walaupun PAS tidak berjaya menjadi “kingmaker” kerajaan persekutuan seperti yang dijangkakan oleh Hadi, ia masih menjadi penentu di Kedah di mana ia memenangi 15 daripada 36 kerusi negeri.

Sebanyak 18 kerusi persekutuan, blok kerusi keempat terbesar selepas Pakatan Harapan, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), membuka jalan bagi parti Islam itu untuk kekal lebih relevan di peringkat kebangsaan.

Hasilnya, Umno, parti yang sejak sekian lama dituduh oleh PAS menyimpang daripada ajaran Islam, datang menyerah diri kepada parti Islam itu.

Buat pertama kali, sejak perpisahan PAS daripada BN pada 1977, kepimpinan tertinggi Umno hadir pada kongres tahun ini pada acara pembukaannya Sabtu lalu yang bertemakan “Islam  Memimpin”.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamid dan barisan pemimpin kanannya duduk mendengar ucapan dasar Hadi di kongres yang diadakan di stadium Gong Badak.

Umno sememangnya berharap untuk memperoleh kerjasama dengan PAS di kongres ini.

Selepas kalah di Putrajaya, dengan kurang daripada 10% undi bukan Melayu, Umno percaya jalan untuknya kembali berkuasa adalah melalui perkongsian dengan PAS.

Dalam ucapan dasarnya, Hadi mengekalkan sikap terbuka berhubung isu kerjasama rasmi dengan Umno.

Kehadiran pemimpin tertinggi Umno pada majlis pembukaan Muktamar Tahunan PAS ke-64 yang berlangsung di Kuala Terengganu membuktikan usaha serius parti Melayu itu untuk bekerjasama dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2018.

Tidak menyebut tentang BN atau Umno sama sekali, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menghuraikan, walaupun perwakilan kemudian memutuskan untuk menyerahkan hal itu kepada Majlis Syura.

“Hadi meneliti dengan hati-hati kerana beliau mahu melihat bagaimana perwakilan akan bertindak balas terhadap idea itu,” kata Dr Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Apa yang lebih penting, Hadi tidak membuat sebarang pilihan sama ada untuk bekerja dengan Umno atau parti dalam PH, kata Mazlan.

Pengarah Eksekutif Ilham Center, Azlan Zainal berkata Hadi tidak pasti bagaimana akar umbi akan bertindak balas selepas PRK Sungai Kandis dan Seri Setia yang menyaksikan hanya sedikit undi PAS pergi kepada calon Umno, berbanding undi Umno kepada PAS.

Tetapi Hadi dan perwakilannya sedar yang pesaing mereka memerlukan bantuan untuk mengalahkan PH pada pilihan raya akan datang.

“Pada masa ini, PAS tidak perlu menyertai BN memandangkan ia sendiri sedang bangkit. Ia juga mempunyai cita-cita untuk merebut peluang menjadi pemimpin Melayu-Islam dalam pakatan pembangkang selepas menjadi pembantu kepada Umno selama bertahun-tahun,” kata Azlan.

Dan, ia sesungguhnya lebih munasabah bagi membiarkan hal itu tanpa sebarang keputusan kerana tidak pernah dalam sejarah PAS menerima perhatian serius daripada Umno. – 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen