KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim berkata beliau mempelajari banyak perkara sepanjang dirinya “keluar masuk” jeriji besi.
Beliau yang baru bebas dari penjara untuk kali kedua Mei lalu berkata, antara pengajaran kepada dirinya adalah beliau menjadi individu yang lebih pemaaf dan mudah rasa simpati kepada mereka yang menderita.
“Ramai yang tanya, 11 tahun Anwar ada belajar apa-apa tak ‘keluar-masuk’ penjara?
“Ada. Saya lebih pemaaf, lebih simpati tentang derita orang.
“Saya lihat anak muda dalam usia 14 tahun ditangkap matanya lebam… kerana curi sepasang seluar jeans tapi yang rompak duit berbilion naik pangkat jadi Tan Sri, Tun,” katanya dalam pidatonya anjuran Wadah di Pusat Konsvensyen Putrajaya hari ini.
Anwar juga menegaskan tidak ada guna seandainya beliau membalas dendam ke atas apa yang telah dilakukan “golongan tertentu” kepadanya selama ini.
Bagaimanapun, beliau tidak merujuk secara terperinci pihak yang dimaksudkan itu.
“Kini, kalau saya kembali menindas (melakukan perkara sama) saya tiada nilai,” katanya.
Anwar dipenjarakan enam tahun pada 1999 kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Setahun kemudian, beliau dipenjarakan pula selama sembilan tahun atas kesalahan meliwat. Beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan selepas sabitan liwat pertamanya itu dibatalkan.
Pada Februari 2015 pula, beliau dipenjara selama lima tahun atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya.
Tetapi, selepas Pakatan Harapan berjaya takluk Putrajaya pada 9 Mei lalu, pada 16 Mei beliau dibebaskan dan diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. – 16 September, 2018.
Komen