Sekolah terbakar, akaun dibeku tapi tahfiz di Keramat masih popular


Yasmin Ramlan

Pusat Tahfiz Darul Qural Ittifaqiyah yang terbakar tahun lepas masih tidak dapat mengagihkan sumbangan derma yang diterima kerana kes saman sivil difailkan beberapa keluarga mangsa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

WANG sumbangan berjumlah jutaan ringgit untuk mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masih tidak dapat diagihkan kerana akaun dibekukan.

Pembekuan akaun yang berpunca daripada saman oleh waris mangsa kebakaran itu juga kini menyebabkan sekolah berdepan masalah kewangan, kata pengetuanya Mohd Zahid Mahmood. 

Namun di sebalik segala masalah tersebut, sekolah tahfiz berkenaan tetap popular dan menerima sehingga 300 permohonan baharu, katanya.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat menempatkan kesemuanya di sekolah tersebut kerana ia hanya dapat menempatkan sehingga kira-kira 50 pelajar, katanya.

Beliau kesal kerana waris mangsa kebakaran mahu pusat tahfiz itu ditutup dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) tidak menyalurkan sebarang dana kepada sekolah.

“Kenapa benci kepada kita sampai begitu sekali? Zalimkah kita? Kita jaga anak mereka dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Pengetua Mohd Zahid Mahmood mendakwa saman tersebut bukan sahaja memburukkan nama pusat tahfiz itu tetapi juga mendatangkan masalah kewangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Mengulas lanjut, Zahid berkata saman berkenaan bukan sahaja memburukkan imej malah turut memberi masalah kewangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Itifaqiyah.

Sekolah itu mula menerima sumbangan bulanan daripada Maiwp pada akhir 2016, namun sumbangan itu dihentikan serta-merta pada 2018.

Zahid yang juga presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) bagaimanapun berkata setakat ini pusat tahfiz itu masih boleh bertahan tanpa sumbangan bulanan.

Jelasnya, restoran miliknya akan meminjamkan wang supaya pusat tahfiz itu tidak perlu meminjam wang daripada pihak lain.

Seramai lebih 40 orang pelajar sedia ada kini ditempatkan di bangunan baharu, juga di Kampung Datuk Keramat.

“Keselamatan (bangunan baharu) disemak oleh Giat Mara dan bomba. Tak ada masalah,” katanya.

Antara waris yang ditemui pada majlis tahlil mengenang kembali mangsa terkorban dalam kebakaran setahun lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Dalam tuntutan saman itu, pusat tahfiz berkenaan didakwa gagal menyediakan tempat tinggal yang selamat kepada pelajar sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa kebakaran ngeri tersebut.

Saman sivil tersebut dikemukakan terhadap tiga pihak termasuk pemilik pusat tahfiz dan Maiwp.

Waris menuntut agar pihak terbabit menerima 80% daripada derma umum kepada mangsa kebakaran.

Plaintif berkenaan juga mahukan mahkamah menentukan mekanisme untuk pembahagian derma tersebut.

[FOTO] Setahun selepas tahfiz terbakar

Pada 31 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencadangkan supaya kes saman tersebut diselesaikan melalui mediasi. 

Proses mediasi seterusnya akan dijalankan pada 2 Oktober untuk menyelesaikan kes tersebut, kata Zahid.

Mahkamah turut menetapkan tarikh akhir 21 Ogos untuk pihak sekolah mengemukakan laporan audit kutipan derma dan penyata bank berhubung kutipan yang dimulakan sejak 14 September tahun lalu.

Waris sebelum ini dilaporkan hanya tahu jumlah derma yang terkumpul adalah sebanyak RM7.6 juta setelah diumumkan kerajaan dalam satu sidang media tahun lalu.

Pelajar Pusat Tahfiz Darul Qural Ittifaqiyah kini ditempatkan di bangunan baharu yang juga terletak di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Ibu bapa mangsa tak mahu terlibat

Sementara itu, waris mangsa yang ditemui The Malaysian Insight dalam satu majlis bacaan tahlil berkata, mereka tidak setuju dengan tindakan saman tersebut.

Yunizar Shaari, 56, berkata beliau malu apabila orang ramai termasuk rakan-rakan mereka menganggap tindakan tuntutan saman tersebut melibatkan dirinya.

“Kita semua ibu yang reda. Kami nak orang lain tahu yang bukan semua ibu bapa terlibat dalam tuntutan wang derma ni. Kita marah sebab dia kata semua ibu bapa (tuntut),” katanya.

Yunizar Shaari, 56, salah seorang waris berkata saman yang difailkan sebilangan waris itu memalukan kerana ia menggambarkan seolah-olah mereka tidak redha dengan takdir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Seorang lagi waris, Mashwani Mohd Shahid, 38, juga kecewa dengan tuntutan saman tersebut kerana menunjukkan seolah-olah mereka tidak menerima ketentuan tuhan atas tragedi itu.

“Kita sedih sebab bila jadi macam ni secara tak langsung silaturrahim dah berpecah-belah. Kita tak nak perkara ni perpanjangan. Dan kita pun tak sangka kebakaran itu akan berlaku,” katanya.

Pelajar Pusat Tahfiz Darul Qural Ittifaqiyah berehat dalam dorm baharu yang kini mempunyai keselamatan diiktiraf Jabatan Bomba. Tragedi yang melanda sekolah itu tahun lepas mencetuskan perdebatan hangat tentang keselamatan pusat tahfiz persendirian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Seorang lagi ibu kepada mangsa, Nor Faizah Aribshah mempersoalkan pihak waris yang hanya mempertikaikan aspek keselamatan selepas kejadian kebakaran.

Walhal, ibu bapa tersebut tidak menyelidik perkara itu sejak awal, katanya yang menganggap waris berkenaan mungkin tidak berbuat demikian kerana tiada bayaran kemasukan ke sekolah itu.

Norhayati Khalid yang kehilangan anak, Amiel Asyraf Abdul Rashid pula berkata saman itu juga tidak wajar kerana memburukkan nama pihak tahfiz dan mengheret nama ibu bapa yang lain.

“Disebabkan sikap tak sabar, mereka terus nak saman dan salahkan ustaz. Lepas tu cakap kami pun terlibat sama,” kata wanita berusia 44 tahun itu. – 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen