Api padam namun rakan-rakan tak luput daripada ingatan


Zaim Ibrahim

Seorang pelajar membaca Al-Quran di penempatan baharu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

KEBIASAANYA mereka akan tidur lewat tetapi pada malam itu, semua pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sudah melelapkan mata menjelang jam 11.30.

Sebelum itu, mereka juga lebih banyak berdiam diri, kata Muhd Syamin Che Azmi, 19, ketika mengimbau semula kejadian menyayat hati pada malam 14 September tahun lalu.

“Setiap malam, sebelum tidur, kami mengamalkan bacaan ayat Manzil. Pada malam itu, kebanyakan pelajar banyak yang diam. 

“Saya juga perasan salah seorang arwah, Muhammad Fahmie Abdullah sering termenung dua tiga hari sebelum kebakaran berlaku,” kata beliau.

Syamin merupakan antara pelajar terawal menyedari api mulai marak di hostel pengajian mereka dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu.

Beliau bersama-sama 12 rakannya menarik pintu jeriji untuk keluar ke tempat lebih selamat tetapi hanya sepuluh orang berjaya meloloskan diri.

Rakannya Fahmie serta serta 22 orang penghuni lain, termasuk dua guru mereka maut apabila pusat tahfiz itu dijilat api.

Empat daripada 11 mangsa yang terselamat dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengenang kembali rakan-rakan dan guru yang terkorban. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Turut berkongsi hiba adalah Muhd Akif Zamir Zahid, 19, yang mengenang saat terakhir bersama sahabatnya, Muhd Taufik Hidayat Norazizan, pada malam Selasa, sehari sebelum kejadian.

[FOTO] Setahun selepas tahfiz terbakar

Sewaktu menikmati juadah makan malam itu, Akif bertanya pada Taufik jika rakannya itu sedih sekiranya beliau meninggal dunia atau ditimpa kemalangan.

“Dia jawab, ‘Mestilah aku sedih. Kita kan kawan dah lama.’ Tetapi saya tidak sangka, dia yang pergi dahulu,” katanya yang sudah menuntut di pusat tahfiz itu sejak tiga tahun lalu. 

Beliau terselamat kerana pulang ke rumah ibu bapanya pada Rabu, bersama adiknya Muhd Arfan yang juga menuntut di tahfiz itu, sehari sebelum kejadian.

Adik beradik Muhd Arfan Zamir Zahid (kiri) and Muhd Akif Zamir Zahid (kanan) antara yang terselamat kerana pulang ke rumah sehari sebelum kejadian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Pada pagi keesokan harinya, ibu mengejutkan beliau awal dan memberitahu sekolahnya terbakar.  Sebaik tiba di sekolah di Jalan Keramat Hujung, beliau melihat api sedang marak.

Beberapa orang ustaz menghalang apabila beliau cuba membantu dan beliau bertanya mengenai nasib rakan-rakan yang berada di sekolah itu.

“Saya bertanyakan pada kawan-kawan yang selamat, mana Taufik? Mereka jawab dia masih di atas. Saya tak percaya… Kemudian, badan saya mula berketar-ketar dan rasa sebak,” katanya.

Pada waktu itu juga, beliau terlihat salah seorang suspek kes tersebut berada di tempat kejadian. Akif berkata beliau memberitahu individu tersebut, kebakaran itu pasti disebabkan perbuatan khianat.

“Dia cepat balik selepas itu… Beberapa hari selepas kejadian, saya terserempak dengan dia dan memanggilnya tetapi dia lari,” ujar Akif lagi.

Muhd Syahmin Che Azmi, 19, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian ngeri yang menggemparkan seluruh negara itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Di tingkat tiga pusat tahfiz tersebut, mangsa ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih di dua penjuru bilik dan di hadapan pintu.

Binaan bangunan berkenaan juga menimbulkan kontroversi kerana tidak diluluskan bomba. Menurut penyiasat, mangsa gagal keluar disebabkan jeriji yang tidak boleh dibuka dari dalam.

Bangunan yang terbakar pada 14 September itu bagaimanapun merupakan bangunan sementara kerana bangunan asal sedang dalam proses pengubahsuaian. 

Bangunan asal yang siap didirikan kini dilengkapi dengan ciri keselamatan termasuk liputan kamera litar tertutup yang mendapat kelulusan pihak bomba.

Pengetua Mohd Zahid Mahmood masih trauma dengan tragedi tersebut dan pernah berhasrat menutup pusat tahfiz itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2018.

Pengetuanya Mohd Zahid Mahmood masih trauma dengan kejadian tersebut dan pernah terfikir untuk menutup sekolah tahfiz itu.

“Saya yang bawa mereka (pelajar tahfiz) ke sini, kalau saya tidak buka pusat tahfiz, mesti mereka tidak mati,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Zahid reda dan menganggap, dugaan yang melanda dirinya itu adalah ketentuan Allah.  

“Selepas kejadian, kami menerima 60 hingga 70 pelajar baharu. Kami dapat beroperasi dengan baik di bangunan baru ini,” tambah beliau.

Perbicaraan ke atas dua orang tertuduh, dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang didakwa membunuh berlangsung selama 12 hari di antara 30 Mei hingga 13 Julai lalu. – 17 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen