KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad hari ini menyaksikan upacara menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dilakukan kerajaan pembangkang Pulau Pinang.
Ikrar itu menjadi pertikaian antara pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan SPRM berminggu lamanya selepas Dzulkifli mengkritik kerajaan negeri kerana tidak menandatangani ikrar itu.
“Menandatangani ikrar di Pulau Pinang hari ini sangat bermakna, kerana saya berasal dari Pulau Pinang. Saya dilahirkan di Kepala Batas. Saya anak Pulau Pinang.
“Tiada sebab lain mengapa saya bimbang apabila Pulau Pinang masih tidak tandatangan ikrar ini, mengapa negeri saya sendiri ambil masa yang lama. Nasib baik ia bukan negeri terakhir.
“Ikrar ini adalah idea saya. Sangat malu kalau negeri sendiri tak tandatangan,” kata Dzulkifli pada upacara itu pagi ini di Komtar, Pulau Pinang.
Upacara itu diketuai Ketua Menteri Lim Guan Eng, turut hadir adalah wakil rakyat dan ahli Parlimen Pakatan Harapan, serta wakil pelbagai agensi negeri.
Dzulkifli mengucapkan tahniah kepada Pulau Pinang kerana menandatangani ikrar itu. Dia juga memuji pentadbiran kerana melibatkan semua wakil Dewan Undang Negeri (DUN) dan Parlimen PH di negeri itu dalam ikrar itu.
Katanya lagi, ikrar itu adalah langkah pertama memerangi korupsi.
“Komitmen penting. Ikrar itu boleh memberikan mereka yang menandatanganinya rasa tanggungjawab dan pemilikan bersama,” katanya.
Dalam ucapannya, Dzulkifli berkata kepercayaan rakyat perlu dijunjung dan dihormati sepanjang masa.
Sebuah kerajaan yang gagal menghormati kepercayaan rakyat serta terlibat dalam korupsi dan salah guna kuasa tidak akan mampu berkhidmat kepada rakyat, menyebabkan mereka dikritik rakyat kerana lemah mentadbir, katanya.
“IBR Plus 10”, kata Lim pula adalah ikrar pertama seumpamanya di negara ini.
Katanya tidak benar yang pentadbirannya tidak bersedia menandatangani ikrar itu, tetapi negeri itu percaya yang ikrar tidak akan bermakna jika tiada kesanggupan politik untuk menentang korupsi.
“Kerana itu kami mahu tambah 10 langkah lagi untuk menentang korupsi dalam ikrar ini, menjadikannya ‘IBR Plus 10’
“Kita perlu yakinkan rakyat, dan membetulkan persepsi negatif mereka yang kerajaan negeri tidak membantu, tetapi hanya mahu merompak rakyat,” katanya.
10 langkah tambahan itu termasuklah pengisytiharan terbuka aset ketua menteri dan exco kerajaan negeri, melaksanakan sistem tender terbuka, melindungi pemberi maklumat, mengambil tindakan kepada pemimpin yang hidup melampaui kemampuannya dan tidak menerima derma peribadi.
Pada sidang media selepas itu, Dzulkifli berkata yang SPRM mengiktiraf 10 langkah integriti tambahan Pulau Pinang itu dan mahu menambahnya dalam ikrar yang disediakan suruhanjaya.
“Kami tiada masalah. Ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menentang korupsi, dan kami harap mereka akan buat langkah itu,” katanya.
Minggu depan, Dzulkifli akan pergi ke Kelantan untuk menyaksikan upacara menandatangani ikrar itu melibatkan PAS di sana.
Satu-satunya negeri yang masih belum menandatangani ikrar itu ialah Selangor yang turut dikawal PH.
“Saya menunggu Selangor untuk memberikan tarikh sesuai untuk menandatangani ikrar itu. Selepas itu, semua kerajaan negeri sudah tandatangan. Kemudian, kami akan mula meminta agensi kerajaan negeri dan persekutuan (menandatanganinya) pula,” katanya.
Apabila ditanya sama ada parti politik akan diminta menandatangani ikrar itu, katanya SPRM masih “belum merancangnya”, tetapi menggesa semua parti memastikan calon mereka pada pilihan raya akan datang bersih korupsi. – 4 Ogos, 2017.
Komen