Tak salah adakan bantahan, kata Mat Sabu selepas ketua Pemuda Amanah ditahan 


Jason Santos

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau sendiri banyak kali ditahan polis kerana terlibat dengan perhimpunan jalanan.– Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2018

TIADA apa yang luar biasa dengan individu meluahkan kemarahan mereka dalam protes jalanan atau perhimpunan aman, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu selepas sedia maklum salah seorang daripada lapan individu yang ditahan polis di Kota Kinabalu adalah ketua Pemuda Amanah negeri.

Katanya, beliau sendiri sudah banyak kali ditahan oleh pihak berkuasa kerana melakukan perkara yang sama.

“Saya sendiri sudah banyak kali ditahan kerana terlibat dengan protes jalanan. Ia bukan masalah besar.

“Bagi saya, tiada masalah untuk menganjurkan protes jalanan sekiranya ia bukan protes bersenjata,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Lapan aktivis ditahan polis di pasar tamu di Jalan Gaya kerana menganjurkan “Perhimpunan Pandang ke Sabah” ketika Kota Kinabalu membuat persediaan untuk sambutan Hari Malaysia malam ini.

Sambutan itu turut dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri kabinet.

Salah seorang daripada lapan individu yang ditahan adalah Ketua Pemuda Amanah Sabah Khairuddin Daud.

Tujuh daripada lapan aktivis yang ditahan polis kerana mengadakan protes jalanan di pasar tamu Jalan Gaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2018

Mereka mendakwa mereka dikasari polis selepas diminta bersurai daripada kawasan berkenaan.

Parti Amanah Neggara yang diketuai Mat Sabu merupakan salah satu parti dalam Pakatan Harapan tetapi tidak termasuk dalam pakatan pilihan raya antara Parti Warisan Sabah-PH di Sabah.

Ketua Amanah Negeri Amanah yang baru dilantik Haris Alimudin berkata Khairuddin secara ringkas memaklumkan kepadanya akan mengambil bahagian dalam demonstrasi aman hari ini.

Katanya, timbalan menteri dalam negeri yang juga ketua pemuda Warisan memberi jaminan kesemua lapan aktvis terbabit akan dibebaskan oleh polis pada jam 7 petang ini.

“Apa yang saya lihat Khairuddin hanya mengamalkan hak demokrasinya, manakala pihak berkuasa hanya menjalankan tugas sebagaimana yang diarahkan.

“Tiada siapa yang melakukan kesalahan. Khairuddin tidak melanggar apa-apa peraturan parti jadi tidak akan dikenakan tindakan,” katanya. – 16 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen