Saya sokong Dr Mahathir 100%, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim juga menggesa rakyat memberikan peluang kepada Dr Mahathir Mohamad untuk mentadbir negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 September, 2018.

ANWAR Ibrahim sekali lagi mengulangi yang beliau menerima sokongan penuh Dr Mahathir Mohamad walaupun khabar angin bertiup kencang mendakwa Anwar mahu menggantikan perdana menteri yang sudah berusia 93 tahun itu secepat mungkin.

Berucap di majlis pelancaran buku Syed Husin Ali di Kuala Lumpur hari ini, bekas timbalan perdana menteri itu juga menggesa rakyat memberikan peluang kepada Dr Mahathir untuk mentadbir negara.

“Berikan (Dr) Mahathir peluang terajui negara. Itu adalah konsensus dalam Pakatan Harapan. Ia juga konsensus saya sebagai individu.”

“100% saya sokong dia (Dr Mahathir). Untuk kita jadi kuat dan dihormati, kita perlu memastikan kerajaan kukuh,” katanya.

Anwar juga menafikan wujud kemelut antara mereka berdua, berkata hubungannya dengan Dr Mahathir sangat baik.

“Mengapa orang selalu nampak kemelut antara saya dengan (Dr) Mahathir? Saya pun ada kenangan baik dengannya. Tetapi orang hanya ingat pergaduhan kami.”

“Saya ditanya banyak kali, dan saya kata bukan mudah untuk memaafkan tetapi apa yang penting adalah rakyat,” tegas Anwar.

Anwar Ibrahim yang ditemui pada majlis pelancaran buku Syed Husin Ali di Kuala Lumpur hari ini turut berkata Langkah PD sudah dipersetujui semua parti Pakatan Harapan dan tidak patut wujud kekecohan lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 September, 2018.

Anwar juga diminta mengulas tentang Langkah PD, beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung pada 9 Mei lalu.

Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR dalam pemilihan tahun ini menjelaskan yang semua parti komponen PH sudah bersetuju dengan keputusan itu.

“Persetujuan sudah dicapai kerana semua parti bersetuju. Mengapa kecoh lagi tentang keputusan ini? Keluar dan berkempen untuk Pakatan Harapan,” katanya.

Wakil rakyat penggal pertama, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya selepas menang hanya empat bulan untuk membuka laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Penyokongnya, termasuklah isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, DAP dan Amanah bertegas yang sudah tiba masanya Anwar kembali ke Parlimen. – 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen