PAS tegas menentang pengiktirafan UEC


Chan Kok Leong

PAS sebulat suara menyokong usul menolak pengiktirafan UEC pada Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Kuala Terengganu, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018.

KERAJAAN perlu mengiktiraf pensijilan pendidikan dari sekolah agama dan tahfiz jika mereka mahu menerima Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kata sayap Wanita PAS.

“Sekiranya mahu mengiktiraf UEC, ia juga mesti mengiktiraf sijil dari sekolah agama yang lebih lama,” kata perwakilan Wanita, Siti Makiah Samsudin semasa perbahasan mengenai UEC.

Resolusi, yang diluluskan sebulat suara, menentang sebarang usaha kerajaan untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke perkhidmatan awam dan universiti awam.

Siti Makiah berkata UEC, yang berasaskan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris, adalah bercanggah dengan dasar pendidikan negara yang mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Mengiktiraf UEC hanya akan mengasingkan masyarakat lebih jauh,” kata Siti Makiah.

Perwakilan ulama Zulkifli Ismail berkata mereka yang belajar UEC tidak mampu bergabung dengan baik ke dalam masyarakat kerana sistem pendidikan terpisah daripada arus perdana.

“Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan harus menjadi asas untuk peperiksaan lain. Justeru, kami akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk tidak mengiktiraf UEC,” kata Zulkifli yang membentangkan resolusi itu.

Tiada perwakilan lain yang menentang resolusi itu dan diterima sebulat suara.

Perwakilan ulama berkata mereka yang belajar UEC tidak mampu bergabung dengan baik dalam masyarakat kerana sistem pendidikan terpisah daripada arus perdana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 September, 2018.

Pakatan Harapan berjanji untuk mengiktiraf UEC dalam manifestonya, sementara Barisan Nasional berkata ia akan mengiktiraf “sijil lain” dalam manifestonya menjelang pilihan raya yang lalu.

Menteri Pelajaran Maszlee Malik menangguhkan pengiktirafan UEC dan kini sedang menjalankan kajian lain mengenai isu itu.
Beliau berkata pengiktirafan UEC tidak akan menjejaskan bahasa Melayu.

Bilangan pelajar yang mengambil UEC di sekolah persendirian Cina hanya membentuk 4% daripada jumlah pelajar menengah yang direkodkan sebanyak 2.1 juta pada 2017. – 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen