Peguam berbalah cara bantah lanjutan khidmat ketua hakim


Bede Hong

PEGUAM yang hadir pada mesyuarat tergempar Badan Peguam Malaysia berbelah pendapat tentang bagaimana seharusnya mereka menzahirkan bantahan terhadap lanjutan tempoh jawatan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin.

Peguam yang ditemui oleh The Malaysian Insight berkata wujud perbincangan hangat dalam dua usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah semasa perbahasan selama dua jam setengah, tentang apa yang patut dilakukan Badan Peguam Malaysia sekiranya Md Raus dan Zulkefli menerima lanjutan lantikan itu.

Sivarasa mencadangkan:

* jika dua hakim itu menerima lanjutan lantikan, semua peguam hendaklah membuat permohonan mengecualikan mereka daripada mendengar kes, dan sekiranya permohonan itu gagal, para peguam hendaklah menarik diri daripada mewakili kes di hadapan mereka;

* selagi mereka kekal sebagai ketua hakim dan presiden Mahkamah Rayuan selepas mencecah umur 66 tahun dan 6 bulan, Md Raus dan Zulkfli tidak akan diundang ke majlis anjuran Badan Peguam Malaysia. Majlis Peguam dan anggota Badan Peguam juga dinasihatkan untuk tidak menjemput mereka dan menolak jemputan ke majlis mereka.

Sivarasa mengesahkan usul itu kepada The Malaysian Insight tetapi enggan mengulas lanjut.

The Malaysian Insight diberitahu yang Sivarasa juga membangkitkan soal krisis kehakiman 1988, dan menyifatkan keadaan sekarang sebagai suatu déjà vu. Ketua hakim negara ketika itu, Salleh Abas disingkirkan daripada jawatan dalam apa yang disifatkan Badan Peguam Malaysia sebagai langkah yang melanggar Perlembagaan digerakkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Seorang peguam berkata Sivarasa mengingatkan situasi mungkin berbeza tetapi inti pati permasalahannya masih serupa. Beliau menambah para peguam mesti menentangnya dengan bersungguh-sungguh.

“Sivarasa juga berkata pemulauan Md Raus dan Zulkefli sama dengan apa yang berlaku kepada bekas ketua hakim Abdul Hamid Omar, yang mempengerusikan panel yang memecat Salleh,” kata seorang peguam kepada The Malaysian Insight.

Kebanyakan peguam bagaimanapun tidak bersetuju dengan langkah untuk memulau dua hakim itu.

Seorang daripadanya berpendapat: “Kita bukannya anjing, kita peguam bela dan peguam cara, bukannya ahli politik.”

Beberapa orang peguam menggesa Badan Peguam Malaysia meneruskan tindakan perundangan mencabar lanjutan lantikan itu sebelum mengikuti langkah yang diusulkan.

Seorang peguam memberi amaran usul itu, sekiranya dipersetujui, akan “mengasingkan diri sendiri daripada (institusi) kehakiman” manakala seorang yang lain menyokong usul berkenaan dan mengingatkan Badan Peguam supaya bersikap “tidak gentar dan memihak”.

Seorang lagi peguam berpendapat Sivarasa hanya mahu memalukan kedua-dua hakim terlibat.

“Langkah itu boleh mencetuskan konfrontasi antara seluruh badan kehakiman dengan badan peguam. Sekarang ini hanya dengan dua hakim. Ia boleh memburukkan keadaan,” kata seorang peguam.

Beberapa peguam yang mempunyai kes tertangguh yang dibicarakan di hadapan Md Raus dan Zulkefli memberi peringatan bahawa usul supaya peguam terlibat menarik diri daripada perbicaraan kes boleh menyebabkan mereka tidak boleh memberikan khidmat sewajarnya kepada anak guam masing-masing.

Bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu. Katanya pendirian Badan Peguam “terbukti betul” selepas bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi setuju membayar pampasan kepada bekas hakim yang terlibat dalam krisis perlembagaan 1988.

Ambiga menggesa Badan Peguam supaya“bertegas” dan menambah “kita tahu kenapa PM (Najib Razak) buat perkara ini”.

Katanya lagi sekiranya pelantikan yang dilanjutkan itu tidak dicabar “dengan sejelas-jelasnya” hakim terlibat “boleh duduk di situ (menjawat jawatan) selama-lamanya”.

Menurut Ambiga sebarang usul baru tidak harus ditambah selepas lanjutan lantikan itu dicabar di mahkamah, yang prosesnya boleh memakan masa berbulan-bulan sedangkan “kemusnahan semakin buruk”.

Sivarasa kemudian menarik balik usul berhubung permohonan tarik diri tetapi usul kedua berkaitan pemulauan dua hakim tersebut daripada majlis sosial diluluskan dengan 397 peguam menyokong.

Presiden Majlis Peguam George Varughese mempengerusikan mesyuarat. Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Persatuan Peguam Sarawak Ranbir Singh Sangha dan Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Brenndon Keith Soh. – 4 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen