Tiada laluan mudah untuk Anwar, kata Hadi


Chan Kok Leong

Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim tidak akan diberikan laluan mudah untuk menang di Port Dickson kerana PAS akan meletakkan calon sekiranya BN enggan berbuat demikian, kata Presiden PAS Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018

PAS akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil Port Dickson sekiranya Barisan Nasional mengambil pendirian berkecuali, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya, tiada jalan atau laluan mudah untuk menang dalam demokrasi.

“Kita tidak mahu berikan kemenangan percuma kepada beliau (Anwar). Jika yang pihak lain enggan bertanding, kita akan teruskan,” kata Hadi pada sidang media di Kuala Terengganu Hari ini.

“Sekurang-kurangnya, ia harus menjadi latihan bersama. Sama ada kita menang atau kalah itu adalah perkara lain,” kata pemimpin berusia 70 tahun itu.

Semalam, Hadi berkata PAS menyifatkan siri pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan khususnya yang terbaharu di Port Dickson sebagai latihan bersama dengan BN walaupun tidak merancang untuk meletakkan calon di Port Dickson.

BN dan Umno berkempen untuk satu sama lain pada dua pilihan raya kecil di Sg Kandis dan Seri Setia sebelum ini.

Walaupun PAS tidak berkempen di Balakong yang menyaksikan pertembungan antara MCA dan DAP, pemimpin parti itu mengarahkan ahlinya mengundi MCA.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong pada Rabu selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding bagi membolehkan beliau kembali ke Dewan Rakyat. – 15 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen