Hentikan obses politik, jangan sampai jadi obesiti


Zainal Rashid Ahmad

Ramai yang beranggapan tugas mereka menumbangkan BN yang dikaitkan dengan kleptokrasi menerusi PRU14 sudah selesai.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018

SEDIKIT demi sedikit sejak 10 Mei lalu, rakyat mulai letih untuk bersikap kritis. Tiada lagi stamina untuk meneliti secara terperinci angka-angka ekonomi. Nilai urus niaga mata wang RM di kaunter kewangan global pun sudah bukan lagi isu utama. 

Rakyat sudah malas hendak mengikuti kedudukan nilai RM hari ke hari. Selama empat bulan terakhir ini, orang awam abaikan saja isu nilai RM. Sikap yang sama juga ketara terhadap berita mengenai angka-angka naik dan turun mata saham di Bursa Malaysia. 

Rakyat marhaen B40 di kawasan urban dan anak muda majoriti senyap di seluruh negara yang memainkan peranan utama dalam mengubah kerajaan, memilih untuk meneruskan hidup selepas PRU14 berakhir. 

Bagi mereka, BN sudah diturunkan – tanda selesailah tugas mereka mengubah kerajaan yang dikaitkan dengan kleptokrasi dan krisis pengurusan ekonomi. BN sudah ditendang keluar dari Putrajaya.

Kedudukan nilai Ringgit Malaysia tidak lagi menjadi keutamaan kebanyakan rakyat selepas kerajaan BN tumbang.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018

Tugas kerajaan PH yang menjanjikan begitu banyak reformasi pentadbiran dan dasar-dasar pengurusan yang telus kini diamanahkan mengubah negara. 

Perubahan secara asasnya masih bersifat akademik. Nampak molek kerana wujud komitmen yang kuat dalam kesungguhan PH melaksanakan janji-janji manifesto terutama pembaharuan sektor awam. Di peringkat pembaharuan perundangan, masih banyak bersifat kajian serta sudah ada yang terkandas di Dewan Negara. 

Tidak apalah. Itu soal politik. 

Mengenai ekonomi, belum nampak kemajuan ketara. Tetapi rakyat marhaen terutama pengundi muda memilih untuk berdiam diri. Itu tanda mereka rasional dan berkompromi dengan kekangan realiti. Mereka faham, bahawa dasar ekonomi tidak mungkin disusun semula dalam sehari. Apatah lagi, ketika hutang negara dan komitmen urusan pinjaman asing disahkan mencapai RM1 trilion. 

Rakyat bosan

Cuma akhir-akhir ini, saya rasa isyarat senyap tanda rakyat mulai bosan dengan politik mula nampak. Tiga pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan akibat kematian Adun, peratusan pengundi jatuh di bawah 50 peratus. Satu angka tanda rakyat sudah bosan, malas dan penat dengan politik. 

Persoalannya kini muncul pula PRK Parlimen Port Dickson. Cuma, bezanya pilihan raya kecil ini tiada kaitan dengan kematian wakil rakyat. Ia proses 100 peratus bersifat politik iaitu memberi laluan kepada bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim melangkah masuk ke Dewan Rakyat pada sidang penggal kedua nanti. 

Ada alasan munasabah secara politik untuk menjawal persoalan perlunya PRK Port Dickson itu. Kalau diperdebatkan pun, ia jadi sekadar debat akademik. Sebab secara politik, keputusan sudah dibuat dan notis pilihan raya akan diumumkan secepat mungkin oleh SPR. 

Cuma rakyat letih dengan kesamaran keadaan sebenar politik hari ini. 

Apa di sebalik motif PRK Port Dickson? Apakah benar BN tidak akan bertanding? Atau apakah pada titik hangat PRK Port Dickson, BN terutama Umno sedang melancarkan perang sensasi politik? 

BN melalui semua ahli parlimennya (54 kerusi) sepakat memberi mandat kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding dengan sesiapa saja, asalkan Umno kembali sebagai komponen kerajaan.

Proses pilihan raya kecil Port Dickson 100 peratus bersifat politik yang mana ia bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018 

Banyak drama murahan berlaku secara kebetulan. Usaha tegar menjatuhkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kerana dituduh pro Perdana Menteri, Dr Mahathir juga satu kejutan. 

Selain, benarkah Anwar bertindak balas mewujudkan kem Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR sebagai respon terhadap kewujudan konspirasi Mahathir-Daim-Azmin untuk menghalang Anwar menjadi PM? 

Rakyat terutama pengundi B40 urban dan anak muda majoriti senyap kini mulai bosan. Politiking berpanjangan menjadikan negara ini seperti negara obses politik. Atau tidak salah disebut obesiti politik juga. 

Semua pemimpin komponen Kerajaan PH kena faham dan menghormati mandat rakyat. Kena perlahankan semua nawaitu yang bersifat obses politik dan kena konsisten dengan usaha utama iaitu sukseskan segera keadaan ekonomi dan janji-janji pembaharuan. 

Terlalu politiking, nanti orang anggap PH lagi teruk berbanding BN. 

Kita pesan sebab kita sayangkan negara. Rakyat berkuasa memilih mana-mana parti pilihan mereka. Namun, rakyat mahu undi mereka setiap lima tahun sekali melalui pilihan raya diisi secara bermakna. 

Rakyat anggap undi mereka demi masa depan negara. Bukan untuk survival politik semata-mata. Sebab undi yang rakyat bagi, bukan sekadar suka-suka. – 15 September, 2018


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen