Hadi tak tolak kemungkinan kerjasama dengan Pakatan


Chan Kok Leong

Dalam politik semuanya tidak mustahil. Di masa depan, musuh boleh jadi kawan dan kawan boleh jadi musuh, kata Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang tidak menolak kemungkinan memperbaharui hubungan dengan Pakatan Harapan di masa akan datang kerana bagi beliau tiada apa yang mustahil dalam politik.

Hadi berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak hari ini.

“Dalam politik semuanya tidak mustahil. Di masa depan, musuh boleh jadi kawan dan kawan boleh jadi musuh.

“Ini semua perkara biasa dalam demokrasi (parti bekerjasama semula) selagi mereka bersetuju dengan agenda kita secara positif dan keterbukaan ini dikekalkan,” kata Hadi.

PAS sebelum ini pernah bersama DAP dan PKR di bawah Pakatan Rakyat namun gabungan itu dibubarkan pada 2015 akibat perbezaan ideologi dan tiada kesepakatan. Hanya melalui gabungan ini PAS berjaya memperbaiki prestasinya pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam ucapan dasarnya hari ini, Hadi berkata PAS terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti walaupun secara tidak rasmi bekerjasama dengan musuh tradisinya, Umno pada tiga pilihan raya kecil.

Muktamar kali ini juga menyaksikan kehadiran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Annuar Musa yang dijemput sebagai tetamu.

Kerjasama dengan Umno setakat ini adalah hanyalah atas beberapa perkara yang PAS rasakan betul, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018.

Bagaimanapun, ketika menyampaikan ucapan dasarnya yang berlangsung selama 40 minit itu, presiden PAS itu tidak menyebut kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Umno.

Pada sidang media itu juga, Hadi berkata PAS telah bekerjasama dengan parti lain kerana ia selari dengan pendirian parti dan prinsip Islam.

PAS juga katanya menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1975 untuk melawan komunis. Parti itu juga bersetuju untuk menyertai Perikatan bagi membentuk BN selepas rusuhan kaum pada 1969, kata Hadi.

“Kesan bersama BN dirasai hingga ke hari ini kerana kita dapat menarik ramai penjawat awam untuk menyertai PAS,” katanya.

“Persoalan mengenai kerjasama dengan BN, bagaimanapun tidak timbul. Hanya kerjasama atas beberapa perkara yang kita rasakan betul.”

Kerjasama rasmi dengan Umno katanya masih lagi jauh memandangkan perbincangan dalam parti masih belum bermula.

“Ia cuma satu andaian saja dan proses itu belumpun bermula,” kata Hadi ketika ditanya sama ada Majlis Syura merestui kerjasama dengan Umno. – 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen