Dr Mahathir kini lebih 'matang', kata Hadi


Chan Kok Leong

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad kini dilihat lebih “matang”, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini.

“Beliau tidak sama. Dulu beliau berusia 40-an, tapi kini sudah 90-an,” kata Hadi ketika ditanya sama ada Dr Mahathir kini lebih mesra.

“Keadaan sudah berubah dan pemikiran Dr Mahathir juga berubah. Dan beliau belajar daripada kelemahan dulu dan kami fikir beliau lebih matang sekarang.

“Itulah sebabnya beliau mahu membayar royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu,” kata bekas menteri besar Terengganu itu pada sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau sebelum ini memberitahu peserta muktamar yang PAS bersedia bekerjasama dengan “semua orang”, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan, yang diterajui oleh Dr Mahathir.

Kerajaan semasa pemerintahan Dr Mahathir yang pertama sebagai perdana menteri, telah berhenti membayar royalti minyak kepada Terengganu apabila ia jatuh ke tangan PAS pada 1999.

Sebaliknya, kerajaan persekutuan mengalihkan pembayaran itu kepada agensi persekutuan.

PAS pula terus menggunakan isu royalti minyak dalam menyampaikan mesej politiknya.

Sepanjang kerjaya politik mereka, kedua-dua pemimpin sering berbalah dengan PAS memanggil pemimpin Umno dan ahlinya “kafir”.

Sementara Dr Mahathir menyalahkan Hadi kerana mencetuskan tragedi Memali pada 1985 yang menyaksikan anggota polis dan orang awam tidak bersalah terkorban.

Apabila didesak sama ada Dr Mahathir adalah seorang yang “lebih baik” sekarang, Hadi menjawab, “Ya, ya!”. – 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen