Sabah bukan anti-Mahathir, kata Shafie


Jason Santos

KETUA Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal menyangkal pandangan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengelak untuk datang ke Sabah sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya disebabkan sentimen anti-Mahathir.

Mengakui melemparkan serangan politik terhadap perdana menteri itu sebelum ini, namun Shafie berkata itu adalah kerana Dr Mahathir ketika itu merupakan sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tidak, tidak sebenarnya (menentang Dr Mahathir). Ia hanya terhadap kerajaan Persekutuan ketika itu, kerajaan BN.

“Ia hanya kepada kerajaan semasa itu, iaitu BN,” Shafie memberitahu pemberita selepas menyaksikan latihan sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu.

Beliau berkata parti-parti pembangkang telah sebulat suara bersetuju bahawa Dr Mahathir akan memimpin usaha menyingkirkan BN di Semenanjung.

Dr Mahathir yang menjadi pengerusi Pakatan Harapan, tidak pernah menjejakkan kaki ke Sabah ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dr Mahathir dikatakan sengaja mengelakkan diri dari sentimen terhadapnya mengenai isu seperti 'Projek IC' yang kontroversi pada 1990-an ketika beliau jadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018.

Timbul spekulasi bahawa Dr Mahathir sengaja mengelakkan diri dari sentimen terhadapnya mengenai isu seperti “Projek IC” yang kontroversi pada 1990-an ketika beliau jadi perdana menteri, di mana ramai pendatang asing memperoleh kad pengenalan Malaysia.

Shafie hari ini berkata beliau telah mencadangkan kepada Dr Mahathir yang mahu mengadakan lawatan ke Sandakan dan Kota Kinabalu semasa kempen PRU14, supaya menumpukan perhatian kepada usaha untuk menyingkirkan BN di Semenanjung, kerana di situlah Pakatan Harapan kuat.

“Ini langkah taktikal, bukanlah sebab beliau tidak mahu datang sini tetapi langkah taktikal untuk memberi tumpuan di kawasan yang amat memerlukan pengaruh beliau,” kata Presiden Warisan itu.

Rakyat Sabah katanya tidak boleh menafikan bahawa peralihan kerajaan adalah disebabkan Dr Mahathir.

“Kalau bukan sebab usaha Dr Mahathir, tak akan ada perubahan. Kita perlu menghargai apa yang beliau sudah lakukan.”

Dr Mahathir dijadualkan akan ke Sabah sempena sambutan Hari Malaysia esok.

Kali terakhir beliau ke Sabah ialah pada 2015, iaitu ketika melawat Tawau bagi menghadiri acara anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan. – 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen