Pemimpin PAS 'pujuk' ahli terima kerjasama dengan Umno


Chan Kok Leong

MEMBERI justifikasi terhadap kerjasama dengan Umno kepada ahli parti mungkin menjadi agenda pada kongres PAS tahun ini, tetapi itu tidak menghalang para pemimpinnya mempersendakan musuh tradisi mereka itu malam tadi.

Atau menyamakan mereka dengan syaitan.

“Jika syaitan menawarkan pertolongan kepada pahlawan Islam, kita patut menerimanya,” kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang memetik kata-kata bekas mursyidul am parti itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ahli bertanya mengapa kita menerima bantuan Umno di Seri Setia. Tetapi ia akan menjadi sesuatu yang pelik jika kita menolak tawaran mereka,” kata Tuan Ibrahim, yang berkata beliau terkejut apabila mendapati dirinya berkempen bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam pilihan raya kecil itu.

Ketua Penerangan Nasaruddin Hassan Tantawi menggambarkan kesediaan Umno bekerjasama dengan PAS sebagai “kejayaan” bagi parti itu.

Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pilihan raya yang terakhir bersejarah bukan hanya kerana PAS mengalahkan Terengganu selepas 14 tahun tetapi kerana Umno kehilangan kuasa.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita tidak pernah bermimpi Umno akan kehilangan Putrajaya. Tetapi ia berlaku. Oleh itu, tidak mustahil bagi kita untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang juga,” katanya.

Ketua Penerangan PAS, Nasaruddin Hassan Tantawi menggambarkan kesediaan Umno bekerjasama dengan PAS sebagai satu kejayaan semasa berucap pada Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu, Terengganu malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018.

Perwakilan PAS akan bertemu untuk membahas isu parti dan ucapan dasar Abdul Hadi Awang hari ini. Topik kerjasama dengan Umno dijangka menguasai perbahasan.

Pada mesyuarat Pemuda semalam, perwakilan menolak usul yang menyokong kerjasama politik dengan Umno.

Buka jalan

Meskipun berseloroh, pemimpin PAS tidak tersasar daripada matlamat mereka - untuk memberi justifikasi terhadap kerjasama PAS dengan Umno kepada ahli parti.

“Selama 60 tahun, kita berlawan dengan Umno kerana ia tidak memperkukuhkan prinsip-prinsip Islam ketika ia berkuasa. Tetapi Umno tidak lagi berkuasa hari ini dan tanggungjawab itu jatuh ke atas kerajaan baru,” kata Tuan Ibrahim

“Jadi jika kerajaan baru gagal menegakkan Islam, Ia adalah tugas kita untuk menegakkan Islam (dengan pihak lain yang sanggup).”

Beliau tidak membangkitkan persaingan antara Umno dan PAS tetapi menggesa penyokong setia PAS “memaafkan” lawan mereka, walaupun benar PAS menderita ketika Umno berkuasa.

“Tetapi Tuhan mengajar kita membenci dosa dan bukan orang yang berbuat dosa kerana orang berdosa boleh berubah. Orang ramai bertanya sama ada kita sudah melupakan dosa Umno - kita bertanya sama ada mereka sudah melupakan kesilapan Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata PAS bersedia membuka pintu kepada Umno dan parti lain yang akan menegakkan tadbir urus Islam.

Bekas ahli Parlimen Temerloh Nasaruddin berkata, ini bukan kali pertama PAS bekerjasama dengan Umno atau seseorang daripada parti itu.

“Kita juga membuka pintu kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan partinya Semangat 46 dan seterusnya Anwar Ibrahim yang membentuk PKR.

“Dan ketika kita berpisah dengan PKR selepas mereka menolak perjanjian kami, PAS tidak kehilangan apa-apa.

“Sebenarnya, selepas berpisah dengan DAP, banyak ahli yang keluar kembali kepada parti,” katanya.

Sebahagian ahli dan penyokong setia PAS yang hadir pada Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu, Terengganu malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 September, 2018.

Beliau mengingatkan kepada lebih 1,000 ahli dalam ceramahnya yang mandat PAS termasuk mengembalikan mereka yang tersasar kepada jalan Islam.

Ketua penerangan parti itu berkata PAS sudah bersedia membuka pintu kepada Umno kerana ia bersedia untuk mendengar parti Islam selepas kehilangan kuasa.

“Adalah ditakdirkan Umno akan kalah dan kini mereka bersedia duduk bersama kita dan mendengar. Kita mahu membuka pintu kepada mereka.”

Nasaruddin menjelaskan kepada para penyokong setia parti mengapa parti itu berhasrat bekerjasama dengan pesaing lamanya dan mengapa mereka harus melupakan perkara lalu demi Islam.

“Saya memahami perasaan anda tentang ini kerana mereka adalah musuh lama kita. Tetapi kita mesti mengetepikan kebencian terhadap mereka demi Islam.” – 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen