LANGKAH ahli parlimen pembangkang menyaman Speaker Dewan Rakyat boleh disifatkan satu tindakan yang membelakangkan kebebasan institusi Parlimen alam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman.
Selain mencemarkan imej Parlimen, Azalina berkata sebagai penggubal undang-undang, ahli Parlimen PKR Hee Loy Sian sepatutnya lebih memahami apa yang terkandung dalam Perlembagaan mengenai hak dan keistimewaan seseorang wakil rakyat.
“Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai keistimewaan Parlimen yang mana secara jelas menyatakan ‘kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana mahkamah.
“Manakala Peraturan Mesyuarat 99 Dewan Rakyat menyebut ‘Keputusan Tuan Yang Di Pertua’ berkenaan dengan sebarang perkara tafsir dalam mana-mana jua Peraturan Mesyuarat ini atau berkenaan dengan kelaziman adalah muktamad kecuali jika ada usul bersendiri menentang keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata, tindakan ahli Parlimen PKR itu seolah sengaja mempolemikkan isu tersebut walhal banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan termasuk mengemukakan usul kepada Speaker.
Semalam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia sebagai membantah keputusan beliau menolak soalan di dewan berkaitan 1MDB.
Tindakan Pandikar yang didakwa menolak lebih 30 soalan 1MDB di Dewan Rakyat menimbulkan kemarahan dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.
Namun Pandikar dalam sidang medianya mempertahankan tindakan beliau dengan alasan ia akan menimbulkan ‘subjudice’. – 3 Ogos, 2017.
Komen