Naik yuran untuk atasi penipuan, jamin kebajikan doktor


Yasmin Ramlan

Apabila diwartakan, yuran rundingan doktor akan dinaikkan dari kadar antara RM10 dan RM35 sedia ada kepada antara RM35 hingga RM125. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018.

KENAIKAN yuran rundingan perlu dilakukan untuk mengatasi penipuan syarikat insurans serta pihak ketiga bagi menjamin kebajikan pengamal perubatan am swasta, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya Dr Mohamed Namazie Ibrahim menjelaskan, melalui penyelarasan tersebut, klinik perubatan am swasta akan dapat bertahan dan tidak perlu lagi bergantung kepada jualan ubat.

“Mereka perlu dibayar dengan caj rundingan yang setimpal supaya mereka tidak perlu bergantung harap dengan penjualan ubat-ubatan untuk menampung (kos) klinik mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, kadar itu perlu dinaikkan bagi mengatasi isu yang berlarutan sejak sekian lama.

“Ia merupakan kesinambungan daripada isu yang berlarutan (kerana) pengamal perubatan am ditipu oleh syarikat insurans dan pihak ketiga.

Pihak ketiga itu merupakan firma dikendali individu dan syarikat insurans gergasi yang menjadi perantara dalam bayaran bil rawatan kakitangan swasta di antara syarikat korporat dan pihak doktor swasta.

Dr Mohamed Namazie berkata, pihak ketiga dipanggil Third Party Asministrator (TPA) ini mengambil sebahagian daripada bayaran tersebut sedangkan perkara itu salah di sisi undang-undang.

“Perbuatan tersebut adalah tidak dibenarkan dari segi undang-undang dan ketua pengarah kesihatan telah memberi amaran mengenai perkara ini tapi ia tidak diendahkan,” katanya.

Isu berkenaan dibangkitkan sejak 2015 lagi kerana tindak-tanduk pihak TPA ini menyebabkan pengamal perubatan mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) pada tahun itu mendedahkan terdapat juga doktor yang terpaksa menutup operasi disebabkan tindakan TPA.

Mengulas lanjut, Dr Mohamed Namezie berkata peningkatan yuran tidak akan menyelesaikan masalah tersebut tetapi amalan TPA berkenaan menjejaskan pendapatan mereka selama ini.

“Ini adalah satu lagi isu yang dibangkitkan dengan MOH. Pemisahan yuran ini haram dan mengurangkan pendapatan doktor umum,” katanya.

Melalui penyelarasan tersebut, klinik perubatan am swasta akan dapat bertahan dan tidak perlu lagi bergantung kepada jualan ubat.–Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2018

Bagi mengatasi masalah itu, pengamal perubatan am pada masa ini akan mengenakan kos lebih tinggi kepada pesakit yang tidak sepatutnya dilakukan.

Jadi mereka mengambil jalan keluar dengan pemindahan harga, di mana MMA tidak berkenan dengan cara tersebut,” katanya.

Maka, peningkatan yuran tersebut perlu dilakukan segera bagi mengatasi masalah ini.

“Ia harus dilakukan sekarang memandangkan klinik pengamal perubatan am (swasta) tidak mampu untuk bertahan,” katanya.

Jelasnya, langkah kerajaan baharu kali ini hanyalah untuk mewartakan pindaan untuk menaikkan kadar yuran tersebut kerana tidak dilakukan oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Katanya, perbincangan tersebut berlangsung sejak 2013, melibatkan kadar yuran rundingan pada Jadual 7 untuk pengamal perubatan am swasta dan Jadual 13 untuk doktor pakar swasta.

“Rundingan tersebut telah siap pada pertengahan 2017. Tetapi kerajaan terdahulu tidak menghiraukan untuk mengazetkan pindaan Jadual tersebut.

Apabila diwartakan, yuran rundingan itu akan dinaikkan dari kadar antara RM10 dan RM35 sedia ada kepada antara RM35 hingga RM125.

Dr Mohamed Namazie juga berkata industri pelancongan perubatan negara tidak akan terjejas dengan kenaikan ini kerana pesakit dari luar negara yang datang ke Malaysia kebanyakannya di hospital.

Jelasnya, yuran rawatan pakar sudah dinaikkan pada 2013.

Kadar bayaran yang dicadangkan itu juga lebih rendah berbanding negara jiran seperti Vietnam yang mengenakan kadar RM80, Indonesia (RM100) dan Singapura, RM120.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Azman Abu Bakar juga dilaporkan berkata, semakan caj itu memang sudah tiba masanya kerana ia tidak disemak hampir 12 tahun.– 15 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen