PAKATAN Harapan (PH) tidak akan bekerjasama dengan Umno walaupun terdapat beberapa pihak dalam parti itu mahu berpakat dengan PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri dan pengerusi PH itu berkata ahli Umno perlu keluar dari parti dan mendaftar dengan parti PH sebelum mereka diterima.
“Jika mereka mahu bekerjasama dengan PKR, tidak mungkin kita akan menerima mereka di dalam PH (sebagai sebuah parti).
“Tetapi jika mereka secara individu menyertai PKR, Bersatu, DAP atau sebagainya, baru kita terima mereka,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas mesyuarat kepimpinan Bersatu hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz yang mahu menyokong Anwar Ibrahim di PRK Port Dickson bagi membolehkan Anwar kembali ke Parlimen.
Nazri berkata beliau akan menyokong Anwar selain berpandangan Umno boleh kembali berkuasa dengan bantuan PKR.
Terdahulu, setiausaha agung Umno Annuar Musa berkata parti pembangkang sedia bekerjasama dengan PH termasuk Bersatu dan DAP.
Dr Mahathir turut mempersenda dakwaan presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa sebuah parti PH akan menyertai pembangkan tidak lama lagi.
“Mereka adalah pembangkang. Beliau berkata sebuah parti PH akan menyertai PAS? Adakah beliau bergurau?” katanya. – 14 September, 2018.
Komen